Tuesday, January 24, 2012

Tertundanya Pengabulan Doa

"Terlambat datangnya pemberian (Allah), meski sudah dimohonkan berulang-ulang, janganlah membuatmu patah harapan. Kerana Dia telah menjamin mengabulkan permintaanmu sesuai dengan apa yang Dia pilihkan untukmu, bukan menurut keinginan engkau sendiri. Juga dalam waktu yang Dia kehendaki, bukan pada waktu yang engkau inginkan."

Penjelasan:
Tidak sepatutnya seorang hambar berburuk sangka kepada Allah akibat doa-doanya belum dikabulkan oleh-Nya. Dan sebaiknya bagi hamba, yang tidak tahu apa yang akan terjadi atas dirinya esok hari, segera melakukan muhasabah diri. Kerana Allah sendiri sudah mengatakan dalam firman-Nya,

"Dan Rabbmu menciptakan apa yang Dia kehendaki dan memilihnya. Sekali-kali tidak ada hak bagi mereka untuk memilih." (al_Qashash: 68)

Dan hendaklah kita sentiasa mengingati firman Allah yang berikut:

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu. Dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah Maha Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." (Surah Al-Baqarah: 216)

Syeikh Ibn `Atha`illah juga mengingatkan,

"Tidak terlaksananya sesuatu yang dijanjikan oleh Allah, janganlah sampai membuatmu ragu terhadap janji Allah itu. Ini agar tidak mengaburkan bashirah-mu (pandangan mata batin) dan memadamkan nur (cahaya) hatimu."

Penjelasan:
Sebagai hamba, manusia tidak mengetahui bila Allah akan menurunkan kurniaan dan rahmat-Nya. Sehinga apabila seseorang melihat tanda-tanda tertentu maka ia akan menduga bahawa itulah saat yang dijanjikan oleh Allah. Sementara disisi Allah, sebetulnya masih ada persyaratan yang Dia kehendaki atas diri hamba-Nya itu yang belum terpenuhi. Jadi jangan sampai menuduh Allah melanggar janji-janji-Nya.

Allah s.w.t. berfirman,

"Ingatlah, bahawa sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat." (Surah Al-Baqarah: 214)

Dalam firman Allah yang lain digambarkan bahawa manusia itu memiliki sifat cenderung tergesa-gesa.

"Dan adalah manusia itu bersifat tergesa-gesa." (al-Israa': 11)

Tertundanya Pengabulan Doa
Kitab Al-Hikam
Syeikh Ibn `Atha`illah As-Sakandari

10 wasiat Imam Hassan Al-Banna


1. Apabila mendengar azan maka bangunlah sembahyang serta-merta walaubagaimana keadaan
sekalipun.

2. Bacalah al-Quran, tatapilah buku-buku ilmu, pergilah ke majlis-majlis ilmu, dan amalkanlah zikrullah dan janganlah membuang masa dalam perkara yang tiada memberi faedah.

3. Berusahalah untuk bertutur dalam bahasa Arab Fushah kerana bahasa Arab yang betul itu adalah syiar Islam.

4. Janganlah bertengkar dalam apa-apa perkara sekalipun kerana pertengkaran yang kosong tiada memberi apa-apa jua kebaikan.

5. Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram.

6. Janganlah banyak bergurau kerana umat yang sedang berjuang itu tidak mengerti melainkan
bersungguh-sungguh dalam setiap perkara.

7. Janganlah bercakap lebih nyaring daripada kadar yang dikehendaki oleh pendengar kerana percakapan yang nyaring itu adalah suatu perbuatan yang sia-sia malah menyakiti hati orang.

8. Jauhilah daripada mengumpat-umpat peribadi orang, mengecam pertubuhan-pertubuhan, dan janganlah bercakap melainkan apa- apa yang memberi kebajikan.

9. Berkenal-kenalanlah dengan setiap Muslim yang ditemui kerana asas gerakan dakwah ialah berkenal-kenalan dan berkasih-sayang.

10. Kewajipan-kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada pada kita, oleh itu gunakanlah masa dengan sebaik-baiknya dan ringkaskanlah perlaksanaannya.

Saturday, January 14, 2012

Friday, January 13, 2012

Jangan Remehkan Wirid

"Hanya orang bodoh yang menganggap rendah wirid. Warid (kurniaan Allah) akan berpanjangan sampai ke akhirat, sementara wirid akan habis seiring dengan lenyapnya dunia ini. Dan yang paling baik untuk ditekuni adalah sesuatu yang tidak dapat diganti wujudnya. Wirid adalah apa yang Allah minta darimu, sedangkan warid adalah apa yang engkau minta dari-Nya. Lalu, dimanakah letak apa yang Allah minta darimu dengan apa yang engkau minta dari-Nya?"

Penjelasan:
Seorang hamba sebaiknya menjalankan kewajipan sesuai dengan bahagiannya. Kerana, orang yang tidak menempatkan wirid pada kedudukan yang sesungguhnya, menandakan bahawa ia tidak mengetahui akan sunnah Nabi dan para sahabatnya. Wirid adalah segala macam bentuk ibadah zahir batin, baik yang diwajibkan mahupun yang disunatkan. Sedangkan warid merupakan kurnia Allah dalam hati hamba, berupa cahaya dan ketenangan di dalam melakukan ibadah, serta hidayah dari-Nya.

Dengan segenap keagungan dan kemuliaan-Nya, Allah Ta'ala menuntut hamba untuk melakukan wirid-wirid, maka laksanakanlah tuntutan-Nya. Sebab, apa yang diperintahkan oleh Allah merupakan perkara yang lebih agung dan harus diperhatikan.

Jangan Remehkan Wirid
Kitab Al-Hikam
Syeikh Ibn 'Atha'illah as-Sakandari

Thursday, January 12, 2012

Bersandarkan diri hanya kepada Allah

"Salah satu tanda bergantungnya seseorang kepada amalnya adalah kurangnya raja' (harapan terhadap rahmat Allah) tatkala ia mengalami kegagalan (dosa)."

Penjelasan:
Bagi meraih keredhaan Allah Ta'ala, seorang muslim diwajibkan beramal. Tapi dalam waktu yang sama diwajibkan pula pada kita untuk tidak menyandarkan diri kepada amalnya itu semata-mata. Semua ini dimaksudkan agar dapat sampai kepada keredhaanNya. Kerana betapapun seorang Muslim itu telah melaksanakan suatu amalan, ia tidak akan pernah mampu untuk menunaikan apa yang menjadi 'hak Allah' secara utuh. Ia juga tidak mungkin mampu melakukan kewajipan secara sempurna sebagai bentuk rasa syukur kepada Allah.

Oleh kerana itu Syaikh Ibn 'Atha'illah rahimahullah berkata, bahawa salah satu tanda dari seseorang yang menyandarkan diri pada kekuatan amal usahanya semata-mata adalah kurang raja' (harapan terhadap rahmat dan kurnia Allah Ta'ala) ketika dia melakukan kesalahan (dosa), atau tidak tercapainya suatu tujuan.

Ini sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w
"Berlakulah kalian setepat dan secermat mungkin (proporsional). Ketahuilah, bahawa amal salah seorang dari kalian tidak akan memasukkannya ke dalam syurga."

Mereka (para sahabat) bertanya, 'Lalu bagaimana dengan Anda, wahai Rasulullah?'

Baginda menjawab, 'Aku juga, hanya saja Allah meliputiku dengan ampunan dan rahmat-Nya'"

Allah Ta'ala berfirman,
"Ini merupakan kurnia Rabbku untuk mengujiku, apakah aku bersyukur atau jesteru mengingkari (nikmat-nikmatNya). Barangsiapa bersyukur, maka sesngguhnya ia bersyukur untuk (kebaikan) dirinya sendiri. Dan barangsiapa kufur, maka sesungguhnya Rabbku Maha Kaya lagi Maha Mulia." (Surah An-Naml: 40)

Bersandar diri hanya kepada Allah
Kitab Al-Hikam
Syeikh Ibn 'Atha'illah as-Sakandari

Rezeki yang sudah ditetapkan

"Kesungguhanmu mengejar apa yang sudah dijamin untukmu (oleh Allah) dan kelalaianmu melaksanakan apa yang dibebankan kepadamu, itu merupakan tanda butanya bashirah (mata batin)"

Sebaiknya jangan memaksa diri untuk mengejar apa yang sesungguhnya telah dijamin oleh Allah Ta'ala atas seluruh makhluk ciptaan-Nya. Sebagaimana dalam firman Allah:

"Dan berapa banyak binatang melata yang tidak (mampu) membawa rezekinya sendiri. Allah lah yang memberi rezeki kepadanya dan kepadamu juga Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. " (surah al-'ankabut: 60)

"Kami tidak meminta rezeki kepadamu, bahkan kamilah yang memberi rezeki. Dan kesudahan yang baik adalah bagi orang yang bertaqwa." (Surah Thaahaa: 132)

Ibrahim al-Khawwash pernah berkata,

"Janganlah memaksa diri untuk mencapai apa yang telah dijamin (untuk dicukupi), dan jangan mensia-siakan apa yang telah diamanahkan kepadamu untuk memenuhinya."

Sabda Rasulullah s.a.w,

"sesungguhnya Allah sangat mencintai seorang hamba yang apabila melakukan suatu pekerjaan, maka ia melakukannya dengan sebaik-baiknya." (Hadith Riwayat Abu Ya'la dan al-Asykari)

Rezeki yang sudah ditetapkan
Kitab Al-Hikam
Syeikh Ibn `Atha`illah as-Sakandari

Akhirat, balasan utama bagi hamba yang beriman

"Sesungguhnya Allah menjadikan negeri akhirat sebagai tempat untuk membalas para hamba-Nya yang beriman, kerana negeri ini (dunia) tidak mampu menampung apa yang hendak Dia berikan kepada mereka dan kerana Allah hendak memuliakan mereka dengan tidak memberikan balasan di dunia yang tidak kekal."

Sesungguhnya Allah Ta`ala sangat pemurah kepada hamba-hambaNya. Dia telah menyediakan balasan atas usaha para hamba untuk berbakti kepada-Nya dengan sesuatu yang belum pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar dengan telinga dan belum pernah terbayang dalam benak hamba. Bahkan pernah digambarkan oleh Rasulullah s.a.w dalam sebuah gambaran yang baginda sampaikan tentang syurga, "Sesungguhnya tempat cambuk untuk kuda yang ada di dalam syurga itu lebih berharga dari dunia dan isinya."

Akhirat, balasan utama bagi hamba yang beriman,
Kitab al-Hikam
Syeikh Ibn `Atha`illah as-Sakandari