Thursday, December 29, 2011

Hadith 5 - Bidaah


Ummul Mukminin, Ummu Abdillah melaporkan, Aisyah r.a berkata, "Rasulullah s.a.w bersabda, "Siapa yang mengada-adakan dalam urusan agama kami ini yang bukan berasal daripadanya, maka dia tertolak"" (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim) "Siapa yang melakukan perbuatan ibadah yang bukan urusan agama kami, maka ibadah itu tertolak." (Hadith Riwayat Muslim)

HURAIAN

Bidaah adalam perkara yang diada-adakan dalam agama. Menurut asy-Syatibi, bidaah adalam mengadakan cara baru dalam beragama yang dianggap sebagai sebahagian daripada tuntuan syariah. Hal itu dilaksanakan dengan maksud supaya penganutnya mantap dalam beribadah kepada Allah.

Hadith ini adalah kaedah agung antara kaedah-kaedah agama dan sebahagian daripada jawami'ul kalim (singkat tetapi penuh makna) yang dianugerahkan Allah kepada Rasulullah s.a.w. Secara tegas dan jelas, hadith ini menolak setiap perbuatan yang diada-adakan dalam soal agama. Perkataan radd dalam hadith ini bererti mardud. Rasulullah bersabda, "Yang bukan urusan (agama) kami" maksudnya adalah tidak berdasarkan hukum dan perintah kami.

Menurut Syeikh Abdurrahman as-Sa'di, hadith ini menunjukkan makna tekstual (manthuq) dan kontekstual (mafhum). Secara tekstual, hadith ini menunjukkan, segala amal perbuatan yang diada-adakan dalam urusan agama yang tidak ada dasarnya dalam al-Quran mahupun sunnah akan ditolak. Bidaah mungkin dalam bentuk perkataan atau fahaman seperti fahaman Jahmiyah, Rafidhah, Mu'tazilah ataupun berbentuk bidaah-bidaah amaliah seperti melakukan bidaah yang tidak disyariatkan oleh Allah ataupun rasul-Nya.

Manakala makna kontekstual hadith ini adalah, siapa sahaja yang melakukan amalan berdasarkan ajaran Allah dan rasul-Nya sama ada yang wajib, sunat mahupun mustahab, amalannya diterima Allah dan diberikan balasan oleh-Nya.

Hadith ini juga mengandungi petunjuk bahawa setiap bentuk ibadah yang dilakukan dengan cara yang terlarang, ibadah itu dianggap rosak kerana tidak berdasarkan perintah syariat. Padahal larangan itu mengandungi konsekuentsi kerosakan. Meskipun tetap dilakukan, ia hanya sia-sia dan tidak membuahkan pahala.

Ibnu Daquq al-'Id menyebut, "Hadith ini semestinya mendapat perhatian lebih dengan cara menghafal, menyebarkanluaskan dan menggynakannya bagi menumpaskan semua bentuk kemungkaran. Ini kerana hadith ini mencakupi semua itu. Adapun perkara-perkara yang merupakan cabang daripada persoalan dasar (usul), yang tidak terkeluar daripada sunnah tidak tercakup dalam hadith ini. Misalnya mazhab yang berasalkan daripada pandangan baik para fuqaha mujtahidin yang mengembalikan perkara-perkara cabang kepada usul (dasar), yang tidak lain adalah kata-kata Rasulullah s.a.w. Juga karya-karya para ulama' yang berkenaan dengan ilmu nahu, faraid dan seumpamanya yang merujuk kepada kata-kata Rasulullah s.a.w dan perintah baginda. Maka, semua itu tidak termasuk dalam kategori yang dimaksudkan hadith ini."

Penting untuk kita ketahui bahawa dalam amalan, yang dinilai bukan kuantiti atau kualiti, tetapi sejauh mana keselarasan dan kesesuaian dengan petunjuk Allah dan rasul-Nya. Meskipun amalan baik kita banyak dan melimpah, tetapi jika tidak bersumberkan perintah syarak, semua sia-sia belaka. Demikian pula, meskipun banyak amalan baik yang kita lakukan, melimpah dan bersumberkan daripada perintah syarak, tetapi tatacara perlaksanaannya tidak sesuai dengan ketentuan syariat, maka ia tidak akan membuahkan pahala.

Oleh sebab itu, dalam hal ini para ulama' memberikan beberapa rumusan seperti "Pada dasarnya, ibadah itu haram kecuali yang diperintahkan," dan "Sederhana dalam beribadah itu lebih baik daripada bersungguh-sungguh dalam bidaah."

Ditambah lagi, jika kita amati, para pelaku bidaah lebih sukar untuk bertaubat berbanding pelaku maksiat. Ini kerana, mereka berasa benar dalam amalan bidaah itu. Sedangkan mengada-adakan sesuatu dalam agama sama sahaja dengan menuduh Rasulullah s.a.w berdusta dalam menyampaikan risalah-Nya. Ya Allah, cukupkanlah kami dengan syariat-Mu dan jauhkan kami daripada bidaah.

PENGAJARAN
  • Setiap ibadah yang tidak bersandarkan pada dalil syar'ie ditolak oleh Allah.
  • Islam adalah agama yang berdasarkan 'ittiba' (berdasarkan dalil) bukan "ibtida' (mengada-adakan sesuatu tanpa dalil) dan Rasulullah s.a.w berusaha menjaganya daripada sikap berlebih-lebihan dan mengada-ada.
  • Agama Islam adalah agama yang sempurna dan tidak ada kekurangannya.

Petikan daripada "Syarah Hadis 40 Imam Nawawi" oleh Fahrur Muis dan Muhamad Suhadi