Tuesday, August 9, 2011

untuk yang menegur dan juga yang ditegur..


Bismillahirrahmanirrahim..

What I am about to write will serve as a reminder to myself and to others. In no way this note is written offend anyone nor it comes as a sarcasm..

Orang kita sekarang, cukup suka menegur kesalahan orang lain.. Alhamdulillah, tidak takut menegur dan tidak takut pula dengan akibat tindakan itu..

Sabda Rasulullah S.A.W.
“Sesiapa antara kamu yang melihat satu kemungkaran, maka ubahlah ia dengan tangannya, sekiranya tidak mampu maka ubahlah dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu ubahlah dengan hatinya dan itu selemah-lemah iman.” (hadis Muslim)

Sememangnya menegur dan menasihati itu amat disarankan oleh Islam dalam hidup bermasyarakat. Namun begitu, berapa ramai diantara kita mempunyai ilmu yang lebih mendalam dalam perkara ini..?

Mari kita lihat sejenak apa yang telah digariskan untuk kita..

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
“Berbicaralah kepada manusia menurut kadar kemampuan akal mereka masing-masing” (riwayat Muslim)

Dalam hadith di atas, kita diajar untuk menjadi orang yang fleksible.. maksud saya, apabila menegur seseorang itu, kenalah ikut cara fikirannya, ikut keadaan emosinya dan ikutlah cara dan kemampuan penerimaannya.. bukan sekadar "dah memang cara aku tegur macam tu.. kasar pun kasar la.. taknak dengar sudah.."

“Serulah manusia kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalanNya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.” (al-Nahl, ayat 125).

Kepelbagaian jenis ini harus dihadapi dengan cara yang sesuai dengan tahap kecerdasan, sepadan dengan iklim budaya fikirnya dan tabiat masing-masing. Ini merupakan dasar-dasar dakwah yang telah digariskan oleh ajaran Islam iaitu mengajak manusia meniti jalan kebenaran yang diperintahkan oleh Allah dengan jalan dakwah terbaik yang sesuai dengan kondisi manusia. Ajaklah kaum cendekiawan yang memiliki pengetahuan tinggi untuk berdialog dengan kata-kata bijak sesuai dengan tingkat kepandaian mereka. Terhadap orang awam, ajaklah mereka dengan memberi nasihat dan perumpamaan yang sesuai dengan taraf mereka sehingga mereka sampai kepada kebenaran.

Sekiranya kita orang yang benar-benar mahu menegakkan kebenaran, ingin amar makruf nahi munkar, apalah salahnya jika kita mendalami sedikit ilmu yang perlu kita bawa sebagai bekal untuk perjalanan kita.. :)

Mari kita lihat garis panduan amar makruf nahi munkar..

Syarat pertama: Hendaklah perbuatan yang hendak dicegah itu adalah perbuatan mungkar mengikut pengertian syarak.
Syarat kedua: Perbuatan tersebut harus berlaku pada waktu itu.
Syarat ketiga: Perbuatan itu haruslah berlaku secara terang-terangan, bukanlah secara sembunyi2.
Syarat keempat: Perbuatan mungkar itu harus diketahui umum tanpa memerlukan seseorang itu berijtihad

Apabila hati kita benci kepada kemungkaran, sudah tentunya kita akan marah dan membenci apabila melihat kemungkaran dilakukan dihadapan mata kita. tapi itu tidak bermakna kita boleh bertindak membabi buta.. jika kurang ilmu didada, jangan begitu cepat menjatuhkan hukum.. Bukan saya melarang kamu menegur atau mencegah kemungkaran, tetapi kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga.. :)

Kisah berikut, saya rasa penting untk kita hayati..

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

Pada zaman bani Israil dahulu, hidup dua orang lelaki yang mempunyai sikap yang berbeza. Lelaki yang pertama suka berbuat dosa sementara yang kedua rajin beribadah. Setiap kali orang yang ahli ibadah ini melihat temannya berbuat dosa, ia menyarankan untuk rakannya berhenti daripada perbuatan dosanya.

Suatu kali orang ahli ibadah berkata lagi, “Berhentilah dari berbuat dosa.” Dia menjawab, “Jangan pedulikan aku, terserah Allah akan menilai perbuatanku. Adakah engkau diutus Allah untuk mengawasi apa yang aku lakukan?.” Ahli ibadah itu membalas, “Demi Allah, dosamu tidak akan diampuni oleh-Nya atau kamu tidak akan dimasukkan ke dalam Syurga Allah.”


Kemudian setelah kedua-dua orang itu mati, Allah s.w.t telah menghakimi kedua-dua mereka di hadapan-Nya. Allah s.w.t menyoal lelaki ahli ibadah, “Adakah kamu lebih mengetahui daripada-Ku? Atau adakah kamu dapat mengetahui apa yang telah berada dalam kekuasaan-Ku?”. Kemudian kepada ahli maksiat Allah berfirman, “Masuklah kamu ke dalam syurga berkat rahmat-Ku.” Sementara kepada ahli ibadah dikatakan,”Masukkan orang ini ke dalam neraka.”

Hadis sahih riwayat Ahmad, 2/323; Abu Daud, 4901; Ibn Mubarak dalam kitab al-Zuhd,314; Ibn Abi Duniya dalam Husnuzh Zhan, 45;al-Baghawi dalam Syarah al-Sunnah, 14/385.

PENGAJARAN:
  • sentiasalah menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran
  • setiap individu hendaklah berusaha meninggalkan perkara maksiat dan kemungkaran
  • jangan berputus asa daripada memohon keampunan Allah yang Maha Penyayang.
  • jangan sewenang-wenangnya menggunakan nama Allah tanpa ilmu
  • seseorang itu tidak berhak menentukan kedudukan seseorang manusia sama ada masuk syurga atau neraka, kerana hanya Allah s.w.t yang menetapkan.
SUMBER: buku 101 kisah dan pengajaran daripada al-Quran, hadis dan Hayatus Sahabah oleh Ustaz Zahazan Mohamad

Faham kan kisah tadi? sudahnya, saya simpulkan dengan mudah untuk kamu.. perbezaan diantara teguran dan tuduhan..

Teguran => tak elok buat macam ni, berdosa.. perbuatan ini akan menjerumuskan kita ke neraka..
Tuduhan => berdosa kamu buat macam tu.. confirm masuk neraka.. atau.. TAHNIAH! selangkah lagi ke kancah maksiat/penzinaan..

Bila baca contoh diatas, teringat pula kepada Firman Allah:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah suatu kaum mengolok-olok kaum yang lain, (kerana) boleh jadi mereka (yang diperolok-olokkan) lebih baik dari mereka (yang mengolok-olok), dan jangan pula perempuan-perempuan (mengolok-olokkan) perempuan lain, (kerana) boleh jadi perempuan (yang diperolok-olokkan) lebih baik dari perempuan (yang mengolok-olok). Janganlah kamu saling mencela satu sama lain, dan janganlah saling memanggil dengan gelar-gelar yang buruk. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk (fasik) setelah beriman. Dan barang siapa tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Surah Al-Hujurat, ayat 11)

“Celakalah bagi setiap pengumpat dan pencela.” (Surah Al-Humazah, ayat 1)

Walaupun dengan niat menegur, kita dilarang mengumpat dan mencaci.. Akhir sekali yang saya nak ingatkan ialah jangan cuba mencari kesalahan dan membuka aib seseorang.. satu lagi kisah yang saya harap kita semua boleh ambil iktibar..

Berikut adalah kisah Umar dan Abd al-Rahman biin 'Auf

‘Umar r.a. telah memanjat rumah seorang lelaki dan mendapatinya dalam keadaan yang tidak wajar. Lelaki tersebut telah membantah ‘Umar dan berkata: “Jika aku menderhakai Allah pada satu perkara, sesungguhnya engkau telah menderhakaiNya pada tiga perkara. ‘Umar bertanya: “Apa dia?”. Dia berkata: Allah ta’ala telah berfirman (maksudnya: Jangan kamu mengintip mencari kesalahan orang lain). Sesungguhnya engkau telah melakukannya. Allah berfirman: (maksudnya: Masukilah rumah melalui pintu-pintunya). Sesungguhnya engkau telah memanjat dari bumbung. Allah berfirman: (maksudnya: janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya). Sesungguhnya engkau tidak memberi salam. Maka ‘Umar pun meninggalkannya…


Maka ketahuilah bahawa sesiapa yang mengunci pintu rumahnya dan bersembunyi di sebalik dindingnya, maka tidak harus seseorang memasuki tanpa izin daripadanya hanya kerana ingin mengetahui perbuatan maksiat. Kecuali jika ia nyata sehingga diketahui oleh sesiapa yang berada di luar rumah tersebut..”(Al-Ghazali, Ihya ‘Ulum al-Din, 3/28, Beirut: Dar al-Khair 1990).



"Sebagai seorang Muslim adalah dilarang mendedahkan aib orang lain seandai keaiban tersebut tidak termasuk di dalam perkara-perkara yang boleh didedahkan secara umum malah sebagai seorang Muslim juga dilarang menyebarkan sesuatu pertuduhan zina tanpa membawa sebarang bukti ke perbicaraan mahkamah secara adil atau di adili mengikut kaedah syara'" - Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin


Wallahua'lam..


1 comment: