Thursday, August 11, 2011

10 hari bersolat di atas najis..

Bismillahirrahmanirrahim..

Hari ke 11 Ramadhan, seperti biasa aku mulakan rutin harian dengan membuka kedai runcit, pergi berurusan di bank, ke kedai borong dan kemudian pada pukul 4.30, ke bazaar Ramadhan untuk berniaga.

Mengikut kebiasaan 10 hari yang sebelumnya, aku pergi ke bazaar, sediakan segala barangan untuk berniaga, bungkus kuih serba sedikit untuk dijual dan pergi ke surau untuk solat asar. Sedikit kelainan yang berlaku hari ini, abang aku pergi dulu ke surau untuk bersolat, kemudian dia datang kembali dan memberitahu "hari ni tak payahlah solat kat surau, pergi cari tempat solat lain.. ada kucing muntah dalam surau..". Mendengar perkara ini, aku pun terus pergi mencari tempat solat lain. Selesai bersolat, tergerak pula hati nak membersihkan muntah kucing dalam surau tadi, tapi disebabkan terlalu ramai orang, aku batalkan niat itu dan kembali ke bazaar.

Sambil menunggu isya', aku duduk berbual dengan mama.. Tiba-tiba aku teringat, surau tadi masih kotor, macamana orang lain nak solat esok? Aku pun tanpa berfikir, capai penyapu, mop dan baldi, terus ke surau. Keadaan nampak sangat berbeza, mungkin sebab tak dipenuhi orang, aku dapat lihat setiap inci ruang solat surau itu. Terjenguk-jenguk sebentar, mencari dimana muntah kucing yang abang aku katakan tadi? Rupanya di sebelah tempat solat imam, 2 tompok muntah kucing masih tidak disentuh sedikit pun oleh berpuluh-puluh jemaah yang solat di surau itu hari ini.. Mengecewakan!

Tak dapat dibayangkan betapa sakitnya hati memikirkan berpuluh-puluh orang sanggup bersujud dihadapan muntah tanpa sedikit pun ada usaha membersihkan atau sekurang-kurangnya menutup supaya tidak mengganggu jemaah. Aku terus menarik tikar yang dikotori muntah tadi, niatnya nak dibawa keluar untuk dibasuh. Angkat sahaja tikar, tiba-tiba kelihatan biji-biji hitam jatuh dari tikar, memenuhi bahagian lantai dibawahnya.. Tahi kelawar?! Aku pandang sekeliling, rupanya memang ruang solat lelaki dipenuhi najis kelawar..

Barulah terdetik di hati aku, rupanya dah 10 hari aku bersujud di lantai yang dipenuhi najis.. Kenapa sebelum ini aku sedikit pun tak perasan? Astaghfirullah, rupanya aku pun sama! sekadar datang bersolat, sedikit pun tak berfikir tentang kebersihan tempat aku bersolat!
Disebabkan terlalu kotor, aku mengambil keputusan untuk membersihkan seluruh surau, termasuk bahagian perempuan. Aku fikir, mungkin tak berat sangat.. Takkanlah bahagian perempuan kotor seperti bahagian lelaki.. Tapi sangkaan aku meleset, aku selak tirai yang membahagi antara lelaki dan perempuan, Subhanallah, ibarat tempat pembuangan sampah! Apa aku nampak?
  • telekung solat yang kotor, bersepah di lantai.
  • sejadah tidak berlipat, tidak pula dibentang.
  • bekas minuman yang sudah berhari-hari ditinggalkan
  • tisu yang sudah diguna, dibuang ditepi sejadah
  • tisu kotor yang diguna untuk mengesat air yang tumpah
  • karipap tak habis makan pun ada!
Bagaimana agaknya hati kita kalau sampai begini kotor tempat solat kita, tempat kita bersujud, tapi sedikit pun tak dipedulikan. Setiap orang yang datang bersolat cuma berfikir kepentingan sendiri, sedikit pun tak beri perhatian kepada kebersihan, keselesaan orang lain. Beginikah umat Islam kita hari ini? Dalam kesibukan berniaga, membeli juadah berbuka puasa, kita menutup mata kepada perkara lain yang lebih penting..

Alhamdulillah semua sampah dan kotoran dah dibersihkan, tapi bagaimana perangai kotor kita ni nak dibersihkan? Adakah kebersihan surau awam sekadar tanggungjawab pihak berkuasa tempatan?!

Rasulullah SAW telah bersabda: Kebersihan itu sebahagian daripada iman. (Riwayat Abu Malik Al-Ashaari).

Wallahua'lam..
written by: Nurul Shafiq bin Sohaimi (11 Ramadhan 1432)

No comments:

Post a Comment