Saturday, September 24, 2011

Pemerintah Tidak Berhak Menghalalkan yang Haram

Ummu Salamah menceritakan bahawa Rasulullah keluar daripada rumahnya dan menemui sekumplan lelaki sedang bertengkar dengan suara yang kuat. Lalu Rasulullah s.a.w berkata kepada mereka:
"Kamu semua mengadukan perkara ini kepada saya sedangkan saya hanya seorang manusia biasa. Mungkin sebahagian kamu lebih bijak mengemukakan hujahnya daripada pihak yang satu lagi. Sedangkan saya memutuskan hukum berdasarkan apa yang saya dengar. Siapa yang saya tetapkan keputusan agar dia merampas sebahagian daripada hak saudaranya, jangan kamu mengambilnya. Kerana saya akan memotong baginya sepotong api neraka."
(Direkodkan oleh an-Nasai, Muslim, al-Bukhari, Ahmad dan at-Tirmizi)


Dalam isu yang sama Ibnu Umar melaporkan Rasulullah berkata:
"Siapa yang mengubah peraturan-peraturan Allah bererti dia menentang Allah. Siapa yang bermusuhan atas perkara yang salah sedangkan dia mengetahui hukumnya, dia sentiasa berada dalam kemurkaan Allah sehingga berhenti bermusuhan."

"Siapa yang menuduh orang beriman dengan tuduhan palsu, Allah akan menempatkannya di dalam lumpur penghuni neraka sehingga dia menarik semula tuduhannya. Siapa menolong musuh yang melakukan kezaliman, dia mendapat kemurkaan Allah."
INTISARI KHUTBAH
  • Peraturan yang ditetapkan oleh Allah tidak boleh diubah oleh siapa sahaja pemimpin.
  • Dalam perundangan Islam, terdapat hukum bersifat mktamad (qatie) yang tidak boleh diubah. Sementara terdapat juga hukum tidak muktamad yang berubah berdasarkan kaedah hukum tertentu.
  • Hakim menjatuhkan hukum berdasarkan bukti dan saksi yang dikemukakan sahaja tanpa ada prejudis kepada pendakwa atau pembela.
  • Pendakwa atau pembela yang berbohong atau mengemukakan bukti atau saksi palsu dalam penghakiman tetap berdosa dan mendapat laknat Allah walaupun keputusan hakim berpihak kepadanya.
  • Siapa pun tidak boleh menghalalkan apa yang Allah haramkan, atau mengharamkan apa yang Allah halalkan.
  • Allah marah terhadap orang yang saling bermusuhan dalam dosa dan maksiat.
  • Allah mengecam perbuatan memfitnah orang yang beriman dan menempatkan mereka di dalam neraka.
  • Fitnah dan mengadu domba adalah kesalahan yang berat kerana ia boleh menjatuhkan maruah orang beriman serta ahli keluarga serta mereka yang berada di sekelilingnya. Ia boleh meruntuhkan rumah tangga, memecah belahkan keluarga dan memutuskan persaudaraan orang yang difitnah.
  • Orang yang memfitnah orang beriman dengan perkara yang tidak benar perlu bertaubat dengan menarik balik tuuhannya dan membersihkan nama bak orang yang dituduh. Dia juga perlu meminta maaf orang yang terlibat.
Petikan dari buku "Khutbah Rasulullah - Wasiat Agung Buat Umat Tercinta" oleh Rahidzir Rais

Wednesday, September 21, 2011

Kisah Imam Abu Hanifah dan Orang-Orang Khawarij

Kisah ini menceritakan tentang Imam Abu Hanifah ketika ia berada di puncak kesempurnaan Ilmu fikihnya, di mana ia telah memiliki segalanya, dimana di antara beliau dan orang-orang Khawarij yang mengkafirkan orang-orang yang melakukan peruatan dosa, maka sesungguhnya ia telah meriwayatkan bahawa telah datang kelompok yang berasal dari bereka, dan mereka berkata kepada Abu Hanifah:
kedua jenazah ini sedang berada di depan pintu masjid, salah seorang jenazah tersebut adalah mayat orang yang mati dalam keadaan mabuk meminum Khamar, sementara seorang lagi jenazah seorang wanita yang membunuh diri kerana ia yakin telah mengandung anak dari hasil perbuatan zina.

Lalu terjadi dialog berikut di antara mereka:

Abu Hanifah: Apa agama dan keyakinan mereka berdua? Apakah mereka merupakan orang yang beriman kepada ajaran agama Yahudi?

Orang Khawarij: tidak.

Abu Hanifah: Apakah mereka merupakan orang yang beriman kepada ajaran agama mereka?

Orang Khawarij: tidak.

Abu Hanifah: Apakah mereka merupakan orang yang beriman kepada ajaran agama Majusi?

Orang Khawarij: tidak.

Abu Hanifah: Ajaran apakah yang mereka yakini?

Orang Khawarij: dari agama yang meyakini bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah utusan-Nya.

Abu Hanifah: katakanlah kepadaku bahawa kesaksian ini merupakan 1/3 atau 1/5 dari iman mereka.

Orang Khawarij: Sesungguhnya iman tidak boleh dibahagi-bahagi kepada 1/3 atau 1/5.

Abu Hanifah: lalu berapakah kadar keimanannya?

Orang Khawarij: Seluruhnya secara sempurna.

Abu Hanifah: apa yang menjadi permasalahan yang kalian tanyakan tentang dua orang yang telah beriman kepada Allah dan menjadi dua orang mukmin seperti yang telah kalian katakan?

Orang Khawarij: adapun pertanyaan kami adalah "apakah mereka menjadi penghuni neraka atau penghuni syurga?"

Abu Hanifah kemudiannya berkata:

Jika ini yang kalian tanyakan maka aku akan membacakan apa yang dikatakan Nabi Ibrahim a.s terhadap orang yang melakukan kesalahan besar:


"Barang siapa yang mengikutiku, maka sesungguhnya ia akan bersamaku, barang siapa yang mengkhianati dan melakukan maksiat kepadaku, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Pengasih"
(surah Ibrahim: 36)

Aku akan menjawab sebagaimana yang dikatakan Nabi Isa a.s kepada kaum yang melakukan kesalahan besar, sebagaimana yagn digambarkan Allah dalam firman-Nya:

"Jika Engkau menyeksa mereka, Maka sesungguhnya mereka adalah hamba-hamba Engkau, dan jika Engkau mengampuni mereka, maka sesungguhnya Engkaulah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."
(Surah Al-Maidah:118)

Aku akan memberikan jawapan sebagaimana yang diberikan Nabi Nuh a.s:

"Mereka berkata: "Apakah kami akan beriman kepadamu padahal yang mengikuti kamu ialah orang-orang yang hina?" Nuh menjawab: "Bagaimana Aku mengetahui apa yang telah mereka kerjakan? Perhitungan (amal perbuatan) mereka tidak lain hanyalah kepada Tuhanku, kalau kamu menyedari. Dan Aku tidak sekali-kali tidak akan mengusir orang-orang yang beriman. Aku (ini) tidak lain melainkan pemberi peringatan yang menjelaskan". Mereka berkata: "Sesungguhnya jika kamu tidak (mahu) berhenti Hai Nuh, nescaya benar-benar kamu akan termasuk orang-orang yang direjam."
(Surah asy-Syu'araa: 111-116)


Aku akan menjawab sebagaimana Nabi Nuh a.s:

"Dan aku tidak pernah berkata kepada kamu: di sisiku ada perbendaharaan Allah, dan tidaklah aku mendakwa mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan aku tidak mengatakan bahawa aku ini malaikat; dan aku juga tidak berkata terhadap orang-orang yang beriman yang kamu pandang hina itu, bahawa Allah tidak akan memberi kebaikan kepada mereka. Allah lebih mengetahui akan apa yang ada di dalam hati mereka. Sesungguhnya aku jika bertindak demikian, nescaya menjadilah aku dari orang-orang yang zalim". (Surah Hud: 31)
Ketika orang-orang Khawarij mendengar jawapan ini, mereka langsung menurunkan senjata yang mereka acungkan untuk menebas Abu Hanifah.

Tuesday, September 20, 2011

Wasiat Rasulullah s.a.w kepada Seorang Lelaki

Umaimah berkata, dia pernah menyediakan air wudhuk Rasulullah s.a.w. Tiba-tiba datang seorang lelaki seraya berkata, "Berikan saya wasiat"
Baginda berkata,
"Jangan engkau menyekutukan sesuatu pun dengan Allah, meskipun engkau akan dipotong dan dibakar api. Janganlah menderhakai kedua orang tuamu, meski mereka berdua menyuruh kamu meninggalkan keluarga dan duniamu. Jangan sekali-kali engkau minum arak, kerana arak adalah kunci segala keburukan. Jangan meninggalkan solat fardu dengan sengaja. Siapa yang melakukannya, maka dia telah terlepas dari janji Allah dan Rasul-Nya. Jangan sekali-kali melarikan diri dari medan pertempuran. Siapa yang melakukannya, maka dia kembali dengan membawa kemurkaan Allah dan tempatnya adalah neraka Jahannam, tempat kembali yang paling buruk. Jangan melebihkan batas tanahmu. Siapa yang melakukan hal itu, maka dia datang pada hari Kiamat, sedang dibahunya adalah tanah sebanyak tujuh bidang tanah. Berikan nafkah dari hartamu, janganlah engkau mengangkat tongkatmu terhadap mereka dan buat mereka takut kepada Allah."
(Direkodkan oleh at-Tabrani)

Intisari Khutbah
Wasiat Rasulullah:
  • Tidak menyembah selain daripada Allah dan tidak menyekutukannya dengan sebarang benda.
  • Mempertahankan akidah tauhid lebih utama daripada memelihara nyawa. Orang yang terbunuh kerana mempertahankan agama adalah syahid.
  • Jangan menderhaka kepada kedua orang tua.
  • Wajib memenuhi permintaan kedua orang tua walaupun kemahuannya melanggar kepentingan diri sendiri.
  • Memelihara solat fardhu dan tidak meninggalkannya dengan sengaja.
  • Tidak melarikan diri dari medan perperangan.
  • Allah melaknat orang yang penakut dan pengecut.
    melarikan diri dari medan peperangan adalah dosa besar yang hanya layak dihumban ke neraka Jahannam.
  • Jangan melampaui batas dalam mengukur tanah sehingga memakan tanah orang lain.
  • Memberikan nafkah kepada tanggungan daripada harta yang dikumpulkan. Jangan mengelak daripada memberikan nafkah kepada mereka yang dibawah jagaan.
  • Tidak mendidik mereka dengan cara yang kasar dan boleh mencederakan fizikal atau menjejaskan mental mereka.
Petikan dari buku "Khutbah Rasulullah - Wasiat Agung Buat Umat Tercinta" oleh Rahidzir Rais

Jangan Jauhi Al-Quran walaupun Pemerintah Menjauhinya



Muaz bin Jabal memberitahu bahawa dia pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:

"Terima pemberian sekiranya ia adalah hadiah. Tetapi sekiranya ia adalah sogokan bagi melepaskan hutang, jangan kamu menerimanya. Menolak rasuah seperti ini tidak akan menyebabkan kamu miskin atau papa. Ingatlah, roda kehidupan Islam itu sentiasa bergerak. Oleh itu, bergeraklah bersama al-Quran di mana sahaja dunia ini berputar. Ingatlah, al-Quran dan pemerintah sering berpisah, tetapi jangan kamu berpisah daripada al-Quran. Ingat, akan muncul di kalangan kamu pemimpin-pemimpin yang membuat keputusan yang hanya menguntungkan mereka dan tidak menguntungkan kamu. Sekiranya kamu menderhakai mereka, pasti mereka membunuh kamu, dan sekiranya kamu mentaati mereka, kamu akan mereka sesatkan."

Mereka bertanya, "Wahai Rasulullah, apa yang harus kami lakukan ketika itu?"

Rasulullah menjawab,
"Lakukan apa yang pernah dilakukan oleh pengikut Nabi Isa, Putera Mariam. Mereka dibelah dengan gergaji dan disalib pada kayu,. Kematian mereka adalah lebih baik daripada hidup dalam keadaan menderhakai Allah."
(Direkodkan oleh at-Tabari)

Intisari Khutbah
  • Boleh menerima hadiah yang diberikan dengan ikhlas tanpa mengharapkan balasan.
  • Islam mengharamkan sogokan dan rasuah, dan mengecam penjenayah seperti ini,.
  • Rasulullah s.a.w memberi jaminan bahawa seorang itu tidak akan menjadi miskin kerana tidak menerima rasuah.
  • Islam mencela pemberi dan penerima rasuah.
  • Rasuah bukan jalan bagi mencapai kejayaan.
  • Amalan rasuah yang berleluasa boleh melumpuhkan kekuatan sebuah negara dan menjahanamkan rakyat.
  • Al-Quran perlu dijadikan panduan dalam setiap aspek kehidupan.
  • Ramai pemerintah dan pemimpin meninggalkan ajaran al-Quran kerana tidak memberikan keuntungan peribadi kepada mereka.
  • Pemimpin yang jahat hanya akan memanipulasikan beberapa ayat al-Quran bagi memenuhi keinginan mereka. Contohnya, rakyat diwajibkan membayar zakat, tetapi menolak pelaksanaan hukum jenayah Islam.
  • Pemimpin yang jahat adalah mereka yang membuat keputusan yang menguntungkan diri sendiri walaupun ia merugikan rakyat.
  • Pemimpin yang zalim akan menyakiti rakyat yang enggan tunduk kepada arahannya.
  • Rakyat yang mengikut segala kejahatan dan kezaliman pemimpin mereka akan hidup dalam kesesatan.
Petikan dari buku "Khutbah Rasulullah - Wasiat Agung Buat Umat Tercinta" oleh Rahidzir Rais

Monday, September 19, 2011

Hadith 16 - Jangan Marah



Abu Hurairah r.a melaporkan, seseorang bertanya kepada Rasululllah s.a.w, "Wahai Rasulullah, nasihatilah saya." Baginda bersabda, "Jangan marah." Orang itu menanyakan hal itu berkali-kali. Baginda menyebut, "Jangan marah."
(Hadith Riwayat Bukhari)

HURAIAN
Hadith ini termasuk salah satu daripada empat hadith yang menjadi tempat rujukan etika yang baik, sebagaimana ditegaskan oleh Imam Abu Muhammad bin Abu Zaid.

Islam mengajar kepada umatnya supaya berakhlak mulia, santun, malu, tawadhu' dan cinta kepada manusia. Marah menghimpun segala bentuk keburukan. Oleh itu, jika kita mampu menahan amarah bererti kita meninggalkan keburukan. Jika kita meninggalkan keburukan, kita mendapat segala kebaikan.

Bertitik tolak dari itu,
Rasulullah s.a.w bersabda, "Siapa yang mampu menahan marahnya, padahal dia sanggup untuk melepaskannya, maka kelak Allah akan memanggilnya pada hari kiamat di hadapan segala makhluk sehingga dia diberi hak untuk memilih bidadari yang disukainya."
(Hadith Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Orang yang pemarah adalah orang yang berjiwa lemah dan rapuh, manakala orang yang mampu menahan marah adalah orang yang berjiwa dan kukuh. Ikuran kuat dan lemahnya seseorang tidak dilihat daripada kemampuannya dalam memukul ataupun menendang, tetapi dilihat dari sejauh mana dia mampu menahan hawa nafsu ketika sedang marah. Sabda Rasulullah s.a.w,

"Orang kuat bukan
lah orang yang mampu memukul lawannya. Tetapi orang yang kuat adalah orang yang mampu mengekang hawa nafsunya ketika sedang marah."
(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

Lelaki yang meminta wasiat daripada nabi dalam hadith ini menjangkakan bahawa wasiat Rasulullah ini bersifat individu sedangkan dia sebenarnya menginginkan agar nabi memberi nasihat secara menyeluruh. Oleh sebab itu, dia mengulangi permintaannya. Ketika Baginda mengulangi wasiat yang sama, dia mengetahui bahawa sebenarnya wasiat ini bersifat menyeluruh. Pesan Rasulullah s.a.w, "Jangan marah" mengandungi dua makna penting:

Pertama, perintah berusaha dan melatih diri untuk berakhlak baik iaitu sabar dan menahan diri atas tindakan buruk yang dilakukan orang lain.

Kedua, perintah untuk tidak melepaskan amarah. Sifat marah biasanya memang tidak dapat dihindari, tetapi lebih baik jika tidak melepaskannya. Oleh itu, ketika marah kita wajib menahan diri untuk tidak mengucapkan kata-kata atau melakukan perbuatan yang diharamkan oleh Allah.

Kekuatan hamba Allah terletak pada kemampuannya dalam menahan diri daripada gejolak syahwat, luahan emosi, marah dan pengaruh-pengaruh buruk yang lain. Sebaik-baik manusia adalahorang yang syahwat dan hawa nafsunya mengikuti aturan Islam. Dia mempergunakan marah dan kekuatannya untuk membela kebenaran dan mengalahkan kebatilan. Sebaliknya, seburuk-buruk manusia adalah orang yang dikalahkan dan dikendalikan oleh nafsu dan marahnya.

Namun, ada kemarahan yang dibolehkan malah terpuji iaitu kemarahan yang timbul kerana Allah, ketika larangan-larangan Allah dilanggar. Marah seperti ini adalah buah daripada keimanan. Siapa sahaja yang tidak marah dalam keadaan seperti ini, perlu ditanyakan keimanannya.

Rasulullah adalah individu yang tidak pernah marah kecuali ketika Baginda melihat larangan-larangan Allah dilanggar. Aisyah r.a berkata, "Rasulullah tidak pernah sekali pun memukul sesuatu atau seseorang dengan tangannya, tidak juga seorang wanita ataupun pelayan kecuali pada saat berjihad di jalan Allah. Baginda tidak pernah berasa dendam kerana disakiti lalu membalas kepada orang yang menyakitinya. Kecuali jika hal itu adalah perlanggaran terhadap larangan Allah. Rasulullah membalas kerana Allah semata-mata"
(Hadith Riwayat Muslim)

Kemarahan yang terpuji adalah marah ketika Rasulullah s.a.w dihina, al-Quran dicemarkan dan sejarah nabi kita diselewengkan dan diputar belitkan. Dalam keadaan seperti ini adalah wajar kaum Muslimin marah, malah itu sikap yang terpuji. Akan tetapi mereka mestilah tetap memerhatikan etika-etika yang baik, tidak melontarkan kata-kata yang diharamkan dan tidak melakukan kerosakan.

Selain itu, Rasulullah s.a.w juga memberikan beberapa teknik menahan marah khususnya marah yang tidak baik. Cara yang eprtama adalah dengan berwudhu'. Manakala cara yang kedua adalah dengan duduk atau jika masih marah ubahlah kepada posisi baring.

Petikan daripada "Syarah Hadis 40 Imam Nawawi" oleh Fahrur Muis dan Muhamad Suhadi

Tuesday, September 13, 2011

Hadith 11 - Meninggalkan Perkara yang Meragukan


Abu Muhammad al-Hasan bin Ali bin Abi Talib, cucu kesayangan Rasulullah s.a.w melaporkan, "Saya menghafal daripada kata-kata Rasulullah s.a.w, "Tinggalkanlah apa yang meragukan kepada apa yang tidak meragukan.""
(Hadith Riwayat at-Tirmidzi)

HURAIAN
Hadith yang diriwayatkan oleh cucu Rasulullah ini memerintahkan kepada kita supaya meninggalkan apa sahaja yang meragukan sama ada perkataan atau perbuatan dan beralih menuju kepada sesuatu yang tidak meragukan. Pengertian ini kembali kepada erti hatidh keenam, "Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Antara kedua-duanya terdapat perkara-perkara yang syubhat (samar-samar)."

Para ulama terdahulu atau salafus soleh bersungguh-sungguh dalam meninggalkan yang meragukan dan mengambil yang meyakinkan. Abu Abdurrahman al-Umari menyatakan, "Jika seorang hamba bersikap wara'. tentu dia meninggalkan hal yang meragukan menuju yang tidak meragukan." Hassan bin Abi Sinan juga menyatakan, "Wara' yang paling ringan adalah jika ada sesuatu yang meragukanmu, maka tinggalkanlah."

Bermula dari ini, para ulama' fekah membuat kaedah yang berbunyi,
"Yang yakin tidak dapat dihilangkan dengan yang meragukan."
Kaedah fekah ini menjelaskan, jika ada pertembungan antara yang meragukan dan yang meyakinkan, kita harus mengambil yang meyakinkan dan berpaling daripada yang meragukan. Contohnya seseorang yakin dia telah berwudhuk, kemudian dia ragu-ragu sama ada masih dalam keadaan berwudhuk ataupun batal. Dalam keadaan seperti ini, dia dipandang sebagai orang yang berada dalam keadaan suci dengan wudhuknya. Dalil kaedah ini adalah hadith yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Abu Hurairah, Baginda bersabda,
"Apabila seorang antara kalian mendapati sesuatu di dalam perutnya sehingga dia menjadi ragu apakah keluar angin daripada perutnya atau tidak, maka janganlah dia keluar dari masjid sehingga dia mendengar bunyi atau mencium bau."
(Hadith Riwayat Muslim)

Ayat ini menganjurkan kita supaya bersandar pada keyakinan dalam membuat keputusan dan urusan hidup. Ini kerana, keyakinan akan mendatangkan ketenangan, sedangkan keraguan menyebabkan kecemasan dan kegelisahan. Allah berfirman,
"Kebenaran (yang datangnya kepadamu dan disembunyikan oleh kaum Yahudi dan Nasrani) itu (Wahai Muhammad), adalah datangnya dari Tuhanmu; Oleh itu, jangan sekali-kali Engkau termasuk dalam golongan orang yang ragu-ragu."
(Surah al-Baqarah: 147)

Menurut Asy-Syaukani, ayat ini ditujukan kepada Rasulullah s.a.w. Namun, sebagai umatnya kita juga diperintahkan untuk tidak menjadi orang yang ragu-ragu kerana keraguan sering kali membuat jiwa kita goncang, mengalami tekanan dan was-was. Maka selayaknya kita mengambil yang yakin dan membuang yang meragukan. Sekali lagi, tinggalkan semua yang meragukan, baik yang berkenaan dengan perkara dunia mahupun akhiratnya dan beralihlah pada sesuatu yang tidak meragukan.

Mengapa? Kerana perkara yang halal sudah jelas dan yang haram juga jelas, baik itu berupa perintah mahupun larangan. Maka, kerjakanlah perintah yang jelas itu dan jauhilah larangan yang jelas itu. Adapun hal-hal yang masih meragukan, maka tinggalkanlah. Semoga Allah menjauhkan kita daripada sikap ragu-ragu dan mengalihkan kita pada sesuatu yang meyakinkan.

PENGAJARAN
  • Meninggalkan yang syubhah dan mengambil yang halal melahirkan sikap warak.
  • Jika keraguan bertentangan dengan keyakinan, ambillah keyakinan.
  • Perkara mesti jelas berdasarkan keyakinan dan ketenangan. Tidak ada harganya keraguan dan kebimbangan.
  • Berhati-hati daripada sikap memandang rendah terhadap urusan agama dan masalah bidaah.
  • Siapa yang membiasakan perkara syubhah, dia akan berani melakukan perbuatan yang haram.
Petikan daripada "Syarah Hadis 40 Imam Nawawi" oleh Fahrur Muis dan Muhamad Suhadi

Hadith 22 - Jalan Menuju Syurga



Abdullah Jabir bin Abdullah Al-Anshary r.a melaporkan, "Seseorang bertanya kepada Rasulullah s.a.w, 'Bagaimana pendapatmu jika saya melaksanakan solat yang wajib, berpuasa Ramadhan, menghalalkan yang halal dan mengharamkan yang haram dan saya tidak menambah sedikit pun, apakah saya akan masuk syurga?' Baginda bersabda, 'Ya.'"

HURAIAN
Orang yang bertanya dalam hadith ini adalah an-Nukman bin Qauqal, sebagaimana dilaskan Imam Muslim dalam kitabnya Sahih. Dia bertanya Rasulullah, "Bolehkah saya masuk syurga jika saya menunaikan solat fardhu lima waktu, berpuasa bulan Ramadhan, menghalalkan yang halal dan mengharamkan yang haram tanpa mengurangi atau menambahkan sedikit pun?" Baginda menjawab, "Ya." Kita mungkin bertanya-tanya mengapa dalam hadith tadi tidak disebutkan haji ataupun zakat sedangkan kedua-duanya juga termasuk dalam rukun Islam?

Jawapannya dapat dilihat daripada dua pandangan. Pertama, ini sudah merangkumi dalam perkataan an-Nukman, "Dan mengharamkan yang haram." Kerana, meninggalkan meninggalkan haji bagi yang sudah mampu adalah haram." Kerana, meninggalkan haji bagi yang sudah mampu adalah haram, begitu juga enggan membayar zakat. Kedua, berkenan dengan ibadah haji, barangkali pertanyaan ini dilontarkan sebelum disyariatkan kewajipan haji, Berkenaan dengan zakat, barangkali Rasulullah s.a.w mengetahui betul bahawa kondisi an-Nukman sedang fakir dan tidak termasuk orang yang berkewajipan membayar zakat. Oleh sebab itu, baginda berbicara kepadanya sesuai dengan keadaannya.

Hadith ini memberi pengertian kepada kita bahawa secara umum kita diperbolehkan meninggalkan amalan tathawwu' (hukumnya sunat). Siapa yang meninggalkan sama sekali, dia hilang keuntungan yang besar dan pahala yang agung. Meninggalkan ibadah-ibadah sunnah secara berterusan dapat merosakkan keadilan seseorang.

Dalam riawayat Muslim yang lain, disebutkan ada seorang yang bertanya kepada Rasulullah s.a.w mengenai solat, lalu Baginda menjawab bahawa solat itu lima kali dalam sehari semalam. Orang itu bertanya lagi:

"Apakah masih ada lagi?" "Tidak, kecuali apabila kamu melakukan solat tathawwu' (sunat)," jawab Baginda. Orang itu kemudian bertanya lagi perihal puasa, haji dan syariat-syariat lainnya. Lalu, Baginda memberikan jawapannya kepada orang itu, Orang itu juga mengatakan, "Demi Allah, aku tidak akan menambahkan atau mengurangkan hal ini sedikit pun." Rasulullah s.a.w bersabda, "Beruntunglah dia jika memang benar demikian."
(Hadith Riwayat Abu Daud)

Daripada huraian ini, kita dapat membuat kesimpulan bahawa sesiap yang memelihara kewajipan-kewajipan, melaksanakannya tepat waktu dan tanpa sedikit pun menambah atau menguranginya, ia adalah orang yang beruntung dan berjaya. Siapa yang menunaikan kewajipan lalu mengiringinya dengan amalan sunat, maka orang itu adalah beruntung lagi.

Semoga Allah sentiasa memberikan taufik kepada kita semua bagi melaksanakan semua kewajipan lalu mengiringinya dengan amalan-amalan sunat sehingga dapat membawa kita menuju syurgaNya. Biar kita menjadi orang yang taat kerana jika kita sudah sibuk dengan ketaatan, kita tidak akan sempat memikirkan kemaksiatan.

PENGAJARAN
  • Setiap muslim dituntut untuk bertanya kepada ulama tentang syariat Islam, kewajipannya dan apa yang dihalalkan dan diharamkan baginya jika hal itu tidak diketahuinya.
  • Halal dan haram adalah peraturan syariat, tidak ada yang berhak menentukannya kecuali Allah.
  • Amal soleh adalah sebab masuknya seseorang ke dalam syurga.
  • Keinginan dan perhatian yang besar daripada para sahabat serta kerinduan mereka terhadap syurga serta usaha mereka dalam mencari jalan untuk sampai ke sana.
Petikan daripada "Syarah Hadis 40 Imam Nawawi" oleh Fahrur Muis dan Muhamad Suhadi

Monday, September 12, 2011

Jawapan kepada persoalan perangai masyarakat kita hari ini..

20 tahun dahulu Pak Pandir menyanyikan lagu ni.. waktu tu aku masih kecik, sket pun tak faham ape benda yang Pak Pandir ni dok cakap, tapi selepas 20 tahun, dengar balik.. barulah aku faham, rupanya penuh dengan yang tersurat dan tersirat..

Jom sama-sama kita hayati..

Ada mata pandang
Ada telinga dengar
Ada mulut diam
Ada tangan garu
Ada kaki goyang.

Ada otak pandai
Ada akal pakai
Ada bijak gadai
Ada mata pejam
Ada mulut kunyah.

Yg remeh dan yg temeh
Berlegar di sekeliling mu
Yg remeh dan yg temeh
Berlegar di sekeliling mu.

Buatlah, buatlah tak tahu
Tepuklah, tepuklah tanganmu.

Rela jadi tunggul rela patung
Tunggu di lelong
Suruh angguk, angguk
Suruh geleng, geleng.

Oh puji lah aku
Ampunlah aku
Senang hidupmu
Ada tangan tadah
Ada maruah campak.

Yg remeh dan yg temeh
Berlegar di sekeliling mu
Yg remeh dan yg temeh
Berlegar di sekeliling mu.

Sunday, September 11, 2011

Cubalah Bersikap Sabar Dengan Perangai Isteri


Diceritakan bahawa ada seorang datang ke rumah Khalifah Umar Al-Khattab untuk mengadukan perangai buruk isterinya. Apabila orang itu tiba di pintu rumah Khalifah, tiba-tiba dia terdengar isteri Khalifah sedang mengangkat suara mengatakan nista Khalifah sedangkan Khalifah hanya berdiam diri sahaja, tidak menjawab sepatah pun.

Maka orang itu pun tidak jadi hendak mengadu, malah tergesa-gesa hendak kembali meninggalkan rumah Khalifah, maka dengan tidak semena-mena dia dipanggil oleh Khalifah Umar seraya bertanya kepadanya: "Apakah hajatmu datang ke mari?"
Jawabnya: "Tidak ada apa-apa wahai Amirul Mukminin."
Tanya Khalifah Umar: "Mengapa datang kalau tidak ada apa-apa?"
Kata orang itu lagi: "Sebenarnya saya datang ini untuk mengadukan kelakuan buruk isteri saya, wahai Amirul Mukminin. Tetapi tiba-tiba saya mendapati tuan hamba juga mengalami nasib yang sama seperti saya."

Berkata Khalifah Umar:
"Wahai saudaraku! Aku terpaksa menanggung semua itu kerana aku terhutang budi kepadanya. Dia telah memasak makananku, membuat roti untukku, membasuh pakaianku dan menyusukan anakku, padahal semua itu tidak wajib atasnya. Dan dia juga menjadi tempat kemesraanku, di mana hatiku berasa tenang dan kerana itu juga aku terlindung daripada melakukan yang haram. Bagaiman dapat aku menentangnya, jadi aku hanya bersabar dan memekakkan telinga saja."
Kata orang itu pula: "Saya juga menanggung nasib yang sama seperti tuan hamba juga, wahai Amirul Mukminin!"

Maka berkata Amirul Mukminin Lagi:
"Wahai saudaraku! Bersabarlah atas kelakuan isterimu itu."

Doa Menghilangkan Rasa Takut atau Tidak Sedap Hati:
"aku berlindung dengan Kalimat Tuhan Yang Maha Sempurna daripada syaitan yang menggoda dan dari mata yang menyeramkan"

Firman Allah s.w.t:
"Wahai orang-orang beriman! Minta pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) solat. Kerana sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar"
(Surah Al-Baqarah: 153)
"Katakanlah (wahai Muhammad akan firmanKu ini, Kepada orang-orang yang berakal sempurna itu): "Wahai orang-orang beriman! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu (Ingatlah) orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat)"
(Surah Al-Zumar: 10)

Friday, September 9, 2011

Hadith 9 - Beban Kesusahan Sesuai dengan Kemampuan


Abu Hurairah Abdurrahman bin Sakhr r.a melaporkan, "Saya mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, 'Apa yang aku larang hendaklah kalian menghindarinya dan apa yang aku perintahkan maka hendaklah kalian laksanakan semampu kalian. Sesungguhnya kehancuran orang sebelum kalian adalah kerana banyak pertanyaan mereka (yang tidak berguna) dan penentangan mereka terhadap nabi-nabi mereka.'" (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

HURAIAN

Hadith ini muncul kerana satu sebab, sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa dia berkata. "Rasulullah s.a.w pernah berkhutbah kepada kami, 'Wahai manusia, Allah telah mewajibkan haji kepada kalian, maka tunaikanlah haji.' Seorang lelaki bertanya, 'Apakah setiap tahun, wahai Rasulullah?' Rasulullah diam sehingga lelaki itu mengulangi pertanyaan sebanyak tiga kali, maka Rasulullah s.a.w bersabda, 'Kalaulah saya jawab, 'Ya' maka tentu haji itu wajib setiap tahun, lalu akhirnya kalian tidak mampu melaksanakannya.' Selanjutnya baginda bersabda, 'Janganlah kalian tanyakan apa yang tidak aku sebutkan, kerana celakanya orang sebelum kalian adalah kerana mereka banyak bertanya dan mereka tidak mematuhi para nabi mereka. Apabila aku perintahkan sesuatu kepada kalian maka laksanakanlah menurut kemampuan kalian. Dan apabila aku melarang kalian daripada sesuatu, makan tinggalkanlah."
(HR Muslim)


Ada keterangan yang menyebutkan, orang yang bertanya tadi adalah al-Aqra' bin Habis r.a. Ibnu Majah meriwayatkan dalam Sunannya daripada Ibnu Abbas r.a, "Sesungguhnya Aqra' bin Habis pernah bertanya kepada Rasulullah, "Wahai Rasulullah, apakah haji itu diwajibkan setiap tahun?" Baginda menjawab, "Sekali seumur hidup. Barangsiapa yang mampu, maka dia melakukan yang sunnah." (HR Abu Daud)

Peristiwa ini berlaku semasa Haji Wada' ketika Rasulullah sedang berkhutbah untuk menjelaskan kepada manusia tentang persoalan agama dan mengajarkan tentang ibada-ibadah yang fardhu dalam Islam.

Kata Rasulullah, "Apa yang aku larang hendaklah kalian menghindarinya.." Menurut Imam Nawawi, kata0kata ini memerintahkan kita supaya menjauhi larangan syariat secara total, sekecil apa pun bentuk larangan itu kita tidak boleh melakukannya. Kaitannya dengan hal ini ada baiknya kita kupas sedikit bahawa larangan itu memiliki dua erti:

Pertama, larangan yang bersifat pengharaman (nahyut tahrim) termasuk di dalamnya larangan yang terkandung dalam hadith ini. Contoh lain seperti larangan zina, riba', mencuri wang, makan harta anak yatim dan sebagainya. Siapa sahaja yang melanggar larangan ini meskipun hanya sedikit, ia akan dihukum sebagaimana yang ditetapkan oleh syariat.

Kedua, larangan yang bersifat makruh (nahyul makruh). Ertinya Allah melarang sesuatu, tetapi terdapat dalil lain yang menunjukkan larangan itu bersifat makruh dan bukan bersifat haram. Atau tidak diharamkan bagi orang mukallaf untuk melakukan larangan tersebut dan jika dikerjakan, dia tidak dihukum. Contohnya makan bawang putih dan bawang merah mentah bagi otang yang menunaikan solat Jumaat atau solat berjemaah.

Rasulullah s.a.w bersabda, "Dan apa yang aku perintahkan maka hendaklah kalian laksanakan semampu kalian." Ini termasuk kaedah penting dalam agama Islam. Ia mencakupi hukum yang tidak terhitung banyaknya termasuk hukum yang berkaitan dengan solat. Contohnya seseorang tidak mampu melaksanakan sebahagian daripada ruku solat atau syarat solat kerana uzur yang bersifat syar'i, maka cukup baginya melaksanakan bahagian yang dia sanggupi. Masalah-masalah seperti seperti ini cukup popular dan diterangkan dalam kitab-kitab fekah.

Hadith ini seiring dengan firman Allah s.w.t,

"Oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya upaya kamu."
(Surah at-Taghabun: 16)
Ayat ini menjelaskan, kita diperintahkan supaya bertaqwa sesuai dengan kemampuan kita kerana Allah tidak pernah membebankan sesuatu kecuali dengan kemampuan dan kesanggupan kita.
Firman Allah,
"wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa...."
(Surah Ali Imran: 102)
Terdapat dua pendapat yang mengulas ayat ini.

Pertama, sebahagian ulama' berpendapat ayat ini mansukh (dihapus hukumnya).

Kedua, sebahagian ulama' lain berpendapat, ayat ini tidak mansukh. Bahkan ayat dalam surah at-Taghaabun tadi mentafsirkan dan menjelaskan ayat dalam surah Ali Imran ini. Inilah pendapat yang lebih kuat. Mereka menambah, "Yang dimaksudkan dengan taqwa yang sebenar adalah menunaikan perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya. Sedangkan Allah tidak pernah memerintahkan sesuatu kecuali sesuai dengan kesanggupan dan kemampuan manusia.

Seterusnya Allah berfirman,
"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya."
(Surah al-Baqarah: 286)
"Sesungguhnya kehancuran orang-orang sebelum kalian adalah kerana banyaknya pertanyaan mereka (yang tidak berguna) dan penentangan mereka terhadap nabi-nabi mereka."
Hadith Nabi ini menjelaskan bahawa kehancuran umat disebabkan oleh dua perkara. Pertama, banyak bertanya dan mengada-ada dalam pertanyaan. Kedua, berselisih dalam soal agama dan menyalahi risalah yang dibawa oleh nabi mereka. Secara umum, Rasulullah s.a.w melarang para sahabat untuk banyak bertanya kerana tiga alasan:
  • Dikhuatiri pertanyaan itu menyebabkan kewajipan menjadi berat.
  • Menyumbat jalan supaya mereka tidak mengada-ada dalam pertanyaan.
  • Mencegah mereka supaya tidak meberat-beratkan diri sendiri dan sibuk dengan sesuatu yang tidak ada manfaatnya.
Berkaitan dengan hal ini, ada tiga jenis hukum dalam pertanyaan:

Pertama, wajib. Iaitu pertanyaan orang yang tidak mengetahui kewajipan-kewajipan agama seperti wudhuk, solat, puasa dan seumpamanya. Allah berfirman:

"...maka bertanyalah kamu kepada ahluz zikri (orang yang berilmu) jika kamu tidak mengetahui."
(Surah al-Anbiyaa':7)
Rasulullah s.a.w turut bersabda, "Menuntut ilmu adalah kewajipan bagi setiap muslim dan muslimah." Memang kita tidak boleh banyak bertanya, tetapi kita juga tidak boleh menutup mulut daripada menanyakan kewajipan-kewajipan agama yang kita dituntut untuk mengetahuinya.

Kedua, fardhu kifayah. Iaitu pertanyaan-pertanyaan dengan tujuan memperdalamkan dan memperluaskan pengetahuan dalam bidang agama dan yang berkait dengannya. Ini tidak semata-mata untuk diamalkan, tetapi juga bertujuan menjaga agama Allah. Pertanyaan-pertanyaan jenis ini tidak wajib bagi setiap muslim, tetapi hanya bagi sebahagian orang sahaja.

Rujukan dari firman Allah,
"...Oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama."
(Surah at-Taubah: 122)
Ayat ini mengandungi pengertian bahawa tidak patut bagi kaum muslimin keluar semuanya untuk berjihad. Hendaklah ada sekelompok yang mengkaji ilmu, bertanya tentangnya dan mendalami agama Allah supaya mereka menjadi pengajar dan pembimbing umat selepas mereka kembali daripada jihad.

Ketiga, haram. Iaitu pertanyaan-pertanyaan yang tidak diwajibkan oleh Allah atas seseorang dan tidak pula diwajibkan ke atas yang lain. Inilah jenis pertanyaan yang dimaksudkan oleh hadith di atas. Ini kerana pertanyaan seperti ini sering kali memberatkan dan menyulitkan diri sendiri kerana ia dapat mendatangkan beban baru daripada syarak. Oleh sebab itu, Rasulullah s.a.w memberi isyarat dengan bersabda, "Dan Allah mendiamkan sekian banyak hal sebagai bentuk rahmat bagi kalian. Maka janganlah kalian mempersoalkan tentangnya." (Hadith Riwayat ad-Daruqutni (as-Sunan) dan al-Baihaqi (al-Kubra).

Kes ini mirip dengan apa yang menimpa Bani Israel ketika diarahkan kepada mereka, "Sembelihlah seekor lembu!". Mereka bertanya jenis lembu dan warnanya serta pelbagai soalan lain. Sedangkan sekiranya mereka melaksanakan sahaja perintah ini dengan segera menyembelih seekor lembu yang ada, pasti mereka tidak akan terjerumus dalam persoalan yang sulit dan berat. Itu semua disebabkan oleh sikap mereka sendiri yang banyak bertanya sehingga memberatkan diri mereka sendiri serta mengundang celaan Allah. Bertitik tolak daripada kisah ini, Rasulullah s.a.w melarang kita daripada banyak bertanya kerana Baginda khuatir kejadian yang menimpa Bani Israel menimpa kita.

Sebab kedua yang membawa kehancuran umat adalah berselisih dalam soal agama dan risalah yang dibawa oleh nabi mereka. Ini termasuk faktor terbesar yang memecahbelahkan umat dan mencerai-beraikan persatuannya. Rasulullah. s.a.w memerintahkan kita untuk mengkaji al-Quran, memahami maknanya dan mengamalkan perintahnya.

Apabila muncul benih perbezaan dan menyebabkan terjadinya perselisihan, baginda memerintahkan kita supaya berdiri tegak dan meninggalkannya agar hati tetap bersih dan fikiran tetap jernih, sehingga kita merujuk kepada al-Quran dengan penuh keikhlasan dan kejujuran. Berkenaan dengan masalah ini Baginda menyebut, "Sesungguhnya kebinasaan umat-umat terdahulu adalah kerana mereka berselisih dalam agama mereka dan berselisih dengan apa yang dibawa oleh nabi mereka."

Oleh itu, kewajipan kita sebagai orang mukmin adalah untuk melaksanakan perintah Allah dan menauhi larangan-Nya serta menjauhkan diri kita daripada dua faktor yang menyebabkan hancurnya umat sebelum kita. Laksanakanlah perintah dengan baik dan jauhilah larangan dengan ikhlas kerana inti ajaran Islam adalah perintah dan larangan itu sendiri. Menjauhi itu lebih mudah daripada melaksanakan kerana semuanya memang dapat ditinggalkan secara total.

Sementara itu, sesuatu yang diperintahkan bererti pelaksanaan dan kadangkala pelaksanaan sesuatu yang memberatkan manusia. Maka, Allah membatasinya dengan semampu kita iaitu menurut batas maksimum kemampuan kita yang diukur dengan ukuran iman dan bukan munafik. Inat, semampu kita bukan semahu kita.

Petikan daripada "Syarah Hadis 40 Imam Nawawi" oleh Fahrur Muis dan Muhamad Suhadi