Tuesday, September 20, 2011

Jangan Jauhi Al-Quran walaupun Pemerintah Menjauhinya



Muaz bin Jabal memberitahu bahawa dia pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:

"Terima pemberian sekiranya ia adalah hadiah. Tetapi sekiranya ia adalah sogokan bagi melepaskan hutang, jangan kamu menerimanya. Menolak rasuah seperti ini tidak akan menyebabkan kamu miskin atau papa. Ingatlah, roda kehidupan Islam itu sentiasa bergerak. Oleh itu, bergeraklah bersama al-Quran di mana sahaja dunia ini berputar. Ingatlah, al-Quran dan pemerintah sering berpisah, tetapi jangan kamu berpisah daripada al-Quran. Ingat, akan muncul di kalangan kamu pemimpin-pemimpin yang membuat keputusan yang hanya menguntungkan mereka dan tidak menguntungkan kamu. Sekiranya kamu menderhakai mereka, pasti mereka membunuh kamu, dan sekiranya kamu mentaati mereka, kamu akan mereka sesatkan."

Mereka bertanya, "Wahai Rasulullah, apa yang harus kami lakukan ketika itu?"

Rasulullah menjawab,
"Lakukan apa yang pernah dilakukan oleh pengikut Nabi Isa, Putera Mariam. Mereka dibelah dengan gergaji dan disalib pada kayu,. Kematian mereka adalah lebih baik daripada hidup dalam keadaan menderhakai Allah."
(Direkodkan oleh at-Tabari)

Intisari Khutbah
  • Boleh menerima hadiah yang diberikan dengan ikhlas tanpa mengharapkan balasan.
  • Islam mengharamkan sogokan dan rasuah, dan mengecam penjenayah seperti ini,.
  • Rasulullah s.a.w memberi jaminan bahawa seorang itu tidak akan menjadi miskin kerana tidak menerima rasuah.
  • Islam mencela pemberi dan penerima rasuah.
  • Rasuah bukan jalan bagi mencapai kejayaan.
  • Amalan rasuah yang berleluasa boleh melumpuhkan kekuatan sebuah negara dan menjahanamkan rakyat.
  • Al-Quran perlu dijadikan panduan dalam setiap aspek kehidupan.
  • Ramai pemerintah dan pemimpin meninggalkan ajaran al-Quran kerana tidak memberikan keuntungan peribadi kepada mereka.
  • Pemimpin yang jahat hanya akan memanipulasikan beberapa ayat al-Quran bagi memenuhi keinginan mereka. Contohnya, rakyat diwajibkan membayar zakat, tetapi menolak pelaksanaan hukum jenayah Islam.
  • Pemimpin yang jahat adalah mereka yang membuat keputusan yang menguntungkan diri sendiri walaupun ia merugikan rakyat.
  • Pemimpin yang zalim akan menyakiti rakyat yang enggan tunduk kepada arahannya.
  • Rakyat yang mengikut segala kejahatan dan kezaliman pemimpin mereka akan hidup dalam kesesatan.
Petikan dari buku "Khutbah Rasulullah - Wasiat Agung Buat Umat Tercinta" oleh Rahidzir Rais

No comments:

Post a Comment