Friday, September 9, 2011

Hadith 9 - Beban Kesusahan Sesuai dengan Kemampuan


Abu Hurairah Abdurrahman bin Sakhr r.a melaporkan, "Saya mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, 'Apa yang aku larang hendaklah kalian menghindarinya dan apa yang aku perintahkan maka hendaklah kalian laksanakan semampu kalian. Sesungguhnya kehancuran orang sebelum kalian adalah kerana banyak pertanyaan mereka (yang tidak berguna) dan penentangan mereka terhadap nabi-nabi mereka.'" (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

HURAIAN

Hadith ini muncul kerana satu sebab, sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa dia berkata. "Rasulullah s.a.w pernah berkhutbah kepada kami, 'Wahai manusia, Allah telah mewajibkan haji kepada kalian, maka tunaikanlah haji.' Seorang lelaki bertanya, 'Apakah setiap tahun, wahai Rasulullah?' Rasulullah diam sehingga lelaki itu mengulangi pertanyaan sebanyak tiga kali, maka Rasulullah s.a.w bersabda, 'Kalaulah saya jawab, 'Ya' maka tentu haji itu wajib setiap tahun, lalu akhirnya kalian tidak mampu melaksanakannya.' Selanjutnya baginda bersabda, 'Janganlah kalian tanyakan apa yang tidak aku sebutkan, kerana celakanya orang sebelum kalian adalah kerana mereka banyak bertanya dan mereka tidak mematuhi para nabi mereka. Apabila aku perintahkan sesuatu kepada kalian maka laksanakanlah menurut kemampuan kalian. Dan apabila aku melarang kalian daripada sesuatu, makan tinggalkanlah."
(HR Muslim)


Ada keterangan yang menyebutkan, orang yang bertanya tadi adalah al-Aqra' bin Habis r.a. Ibnu Majah meriwayatkan dalam Sunannya daripada Ibnu Abbas r.a, "Sesungguhnya Aqra' bin Habis pernah bertanya kepada Rasulullah, "Wahai Rasulullah, apakah haji itu diwajibkan setiap tahun?" Baginda menjawab, "Sekali seumur hidup. Barangsiapa yang mampu, maka dia melakukan yang sunnah." (HR Abu Daud)

Peristiwa ini berlaku semasa Haji Wada' ketika Rasulullah sedang berkhutbah untuk menjelaskan kepada manusia tentang persoalan agama dan mengajarkan tentang ibada-ibadah yang fardhu dalam Islam.

Kata Rasulullah, "Apa yang aku larang hendaklah kalian menghindarinya.." Menurut Imam Nawawi, kata0kata ini memerintahkan kita supaya menjauhi larangan syariat secara total, sekecil apa pun bentuk larangan itu kita tidak boleh melakukannya. Kaitannya dengan hal ini ada baiknya kita kupas sedikit bahawa larangan itu memiliki dua erti:

Pertama, larangan yang bersifat pengharaman (nahyut tahrim) termasuk di dalamnya larangan yang terkandung dalam hadith ini. Contoh lain seperti larangan zina, riba', mencuri wang, makan harta anak yatim dan sebagainya. Siapa sahaja yang melanggar larangan ini meskipun hanya sedikit, ia akan dihukum sebagaimana yang ditetapkan oleh syariat.

Kedua, larangan yang bersifat makruh (nahyul makruh). Ertinya Allah melarang sesuatu, tetapi terdapat dalil lain yang menunjukkan larangan itu bersifat makruh dan bukan bersifat haram. Atau tidak diharamkan bagi orang mukallaf untuk melakukan larangan tersebut dan jika dikerjakan, dia tidak dihukum. Contohnya makan bawang putih dan bawang merah mentah bagi otang yang menunaikan solat Jumaat atau solat berjemaah.

Rasulullah s.a.w bersabda, "Dan apa yang aku perintahkan maka hendaklah kalian laksanakan semampu kalian." Ini termasuk kaedah penting dalam agama Islam. Ia mencakupi hukum yang tidak terhitung banyaknya termasuk hukum yang berkaitan dengan solat. Contohnya seseorang tidak mampu melaksanakan sebahagian daripada ruku solat atau syarat solat kerana uzur yang bersifat syar'i, maka cukup baginya melaksanakan bahagian yang dia sanggupi. Masalah-masalah seperti seperti ini cukup popular dan diterangkan dalam kitab-kitab fekah.

Hadith ini seiring dengan firman Allah s.w.t,

"Oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya upaya kamu."
(Surah at-Taghabun: 16)
Ayat ini menjelaskan, kita diperintahkan supaya bertaqwa sesuai dengan kemampuan kita kerana Allah tidak pernah membebankan sesuatu kecuali dengan kemampuan dan kesanggupan kita.
Firman Allah,
"wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa...."
(Surah Ali Imran: 102)
Terdapat dua pendapat yang mengulas ayat ini.

Pertama, sebahagian ulama' berpendapat ayat ini mansukh (dihapus hukumnya).

Kedua, sebahagian ulama' lain berpendapat, ayat ini tidak mansukh. Bahkan ayat dalam surah at-Taghaabun tadi mentafsirkan dan menjelaskan ayat dalam surah Ali Imran ini. Inilah pendapat yang lebih kuat. Mereka menambah, "Yang dimaksudkan dengan taqwa yang sebenar adalah menunaikan perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya. Sedangkan Allah tidak pernah memerintahkan sesuatu kecuali sesuai dengan kesanggupan dan kemampuan manusia.

Seterusnya Allah berfirman,
"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya."
(Surah al-Baqarah: 286)
"Sesungguhnya kehancuran orang-orang sebelum kalian adalah kerana banyaknya pertanyaan mereka (yang tidak berguna) dan penentangan mereka terhadap nabi-nabi mereka."
Hadith Nabi ini menjelaskan bahawa kehancuran umat disebabkan oleh dua perkara. Pertama, banyak bertanya dan mengada-ada dalam pertanyaan. Kedua, berselisih dalam soal agama dan menyalahi risalah yang dibawa oleh nabi mereka. Secara umum, Rasulullah s.a.w melarang para sahabat untuk banyak bertanya kerana tiga alasan:
  • Dikhuatiri pertanyaan itu menyebabkan kewajipan menjadi berat.
  • Menyumbat jalan supaya mereka tidak mengada-ada dalam pertanyaan.
  • Mencegah mereka supaya tidak meberat-beratkan diri sendiri dan sibuk dengan sesuatu yang tidak ada manfaatnya.
Berkaitan dengan hal ini, ada tiga jenis hukum dalam pertanyaan:

Pertama, wajib. Iaitu pertanyaan orang yang tidak mengetahui kewajipan-kewajipan agama seperti wudhuk, solat, puasa dan seumpamanya. Allah berfirman:

"...maka bertanyalah kamu kepada ahluz zikri (orang yang berilmu) jika kamu tidak mengetahui."
(Surah al-Anbiyaa':7)
Rasulullah s.a.w turut bersabda, "Menuntut ilmu adalah kewajipan bagi setiap muslim dan muslimah." Memang kita tidak boleh banyak bertanya, tetapi kita juga tidak boleh menutup mulut daripada menanyakan kewajipan-kewajipan agama yang kita dituntut untuk mengetahuinya.

Kedua, fardhu kifayah. Iaitu pertanyaan-pertanyaan dengan tujuan memperdalamkan dan memperluaskan pengetahuan dalam bidang agama dan yang berkait dengannya. Ini tidak semata-mata untuk diamalkan, tetapi juga bertujuan menjaga agama Allah. Pertanyaan-pertanyaan jenis ini tidak wajib bagi setiap muslim, tetapi hanya bagi sebahagian orang sahaja.

Rujukan dari firman Allah,
"...Oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama."
(Surah at-Taubah: 122)
Ayat ini mengandungi pengertian bahawa tidak patut bagi kaum muslimin keluar semuanya untuk berjihad. Hendaklah ada sekelompok yang mengkaji ilmu, bertanya tentangnya dan mendalami agama Allah supaya mereka menjadi pengajar dan pembimbing umat selepas mereka kembali daripada jihad.

Ketiga, haram. Iaitu pertanyaan-pertanyaan yang tidak diwajibkan oleh Allah atas seseorang dan tidak pula diwajibkan ke atas yang lain. Inilah jenis pertanyaan yang dimaksudkan oleh hadith di atas. Ini kerana pertanyaan seperti ini sering kali memberatkan dan menyulitkan diri sendiri kerana ia dapat mendatangkan beban baru daripada syarak. Oleh sebab itu, Rasulullah s.a.w memberi isyarat dengan bersabda, "Dan Allah mendiamkan sekian banyak hal sebagai bentuk rahmat bagi kalian. Maka janganlah kalian mempersoalkan tentangnya." (Hadith Riwayat ad-Daruqutni (as-Sunan) dan al-Baihaqi (al-Kubra).

Kes ini mirip dengan apa yang menimpa Bani Israel ketika diarahkan kepada mereka, "Sembelihlah seekor lembu!". Mereka bertanya jenis lembu dan warnanya serta pelbagai soalan lain. Sedangkan sekiranya mereka melaksanakan sahaja perintah ini dengan segera menyembelih seekor lembu yang ada, pasti mereka tidak akan terjerumus dalam persoalan yang sulit dan berat. Itu semua disebabkan oleh sikap mereka sendiri yang banyak bertanya sehingga memberatkan diri mereka sendiri serta mengundang celaan Allah. Bertitik tolak daripada kisah ini, Rasulullah s.a.w melarang kita daripada banyak bertanya kerana Baginda khuatir kejadian yang menimpa Bani Israel menimpa kita.

Sebab kedua yang membawa kehancuran umat adalah berselisih dalam soal agama dan risalah yang dibawa oleh nabi mereka. Ini termasuk faktor terbesar yang memecahbelahkan umat dan mencerai-beraikan persatuannya. Rasulullah. s.a.w memerintahkan kita untuk mengkaji al-Quran, memahami maknanya dan mengamalkan perintahnya.

Apabila muncul benih perbezaan dan menyebabkan terjadinya perselisihan, baginda memerintahkan kita supaya berdiri tegak dan meninggalkannya agar hati tetap bersih dan fikiran tetap jernih, sehingga kita merujuk kepada al-Quran dengan penuh keikhlasan dan kejujuran. Berkenaan dengan masalah ini Baginda menyebut, "Sesungguhnya kebinasaan umat-umat terdahulu adalah kerana mereka berselisih dalam agama mereka dan berselisih dengan apa yang dibawa oleh nabi mereka."

Oleh itu, kewajipan kita sebagai orang mukmin adalah untuk melaksanakan perintah Allah dan menauhi larangan-Nya serta menjauhkan diri kita daripada dua faktor yang menyebabkan hancurnya umat sebelum kita. Laksanakanlah perintah dengan baik dan jauhilah larangan dengan ikhlas kerana inti ajaran Islam adalah perintah dan larangan itu sendiri. Menjauhi itu lebih mudah daripada melaksanakan kerana semuanya memang dapat ditinggalkan secara total.

Sementara itu, sesuatu yang diperintahkan bererti pelaksanaan dan kadangkala pelaksanaan sesuatu yang memberatkan manusia. Maka, Allah membatasinya dengan semampu kita iaitu menurut batas maksimum kemampuan kita yang diukur dengan ukuran iman dan bukan munafik. Inat, semampu kita bukan semahu kita.

Petikan daripada "Syarah Hadis 40 Imam Nawawi" oleh Fahrur Muis dan Muhamad Suhadi

No comments:

Post a Comment