Thursday, April 5, 2012

Hadith 28 - Mengikuti Sunnah dan Menjauhi Bidaah

Abu Najih al-Irbadh bin Sariyah r.a melaporkan, "Rasulullah s.a.w memberikan kami nasihat yang membuat hati kami bergetar dan air mata kami bercucuran. Kami berkata, 'Ya Rasulullah, seakan-akan ini nasihat perpisahan, maka berilah kami wasiat.' Rasulullah s.a.w bersabda, 'Saya wasiatkan kepada kalian untuk bertaqwa kepada Allah azza wa jalla, tunduk dan patuh kepada pemimpin kalian meskipun yang memimpin kalian adalah seorang

hamba. Kerana, siapa pun antara kalian yang masih hidup nanti, pasti menyaksikan banyak perselisihan. Kerana itu berpegang teguhlah kepada sunnahku dan sunnah para Khulafa' ar-Rasyidin yang mendapat petunjuk. Gigitlah sunnah-sunnahku dengan gigi geraham. Dan hindarilah hal-hal yang baru (dalam soal agama) kerana semua yang baru adalah bidaah dan setiap bidaah adalah sesat." (Hadith Riwayat Abu Dawud dan At-Tirmizi)

HURAIAN

Hadith ini berisi wasiat agung Rasulullah s.a.w kepada al-Irbadh bin Sariyah. Wasiat yang menyebabkan mata berlinang dan hati bergetar, malah alIrbadh menyatakan bahawa seolah-olah ini adalah petua dari orang yang akan berpisah.

Wasiat pertama baginda adalah bertaqwa kepada Allah iaitu menjaga diri daripada azab Allah dengan cara melaksanakan semua perintah Allah dan menjauhi semua larangan-Nya. Perlu diingat, untuk bertaqwa, seseorang harus melalui tiga tahap iaitu memahami ajaran Islam, ingat kepada Allah dan takut kepada-Nya.

Wasiat kedua baginda adalah taat dan patuh kepada pemimpin meskipun dia seorang hamba yang berasal dari Ethiopia. Para ulama' memahami hadith ini dengan dua pengertian:

Pertama, memberitahu akan terjadinya kerosakan kepada kaum muslimin dan lemahnya penerapan hukum-hukum syariat sehingga sesuatu diletakkan bukan di tempatnya. Dalam hal ini, apabila tampuk kepimpinan dipegang seorang hamba, maka wajib taat dan patuh kepadanya demi menghindari kerosakan yang lebih besar. Dalam keadaan seperti ini, kita mesti bersabar mentaati pemimpin yang sebenarnya tidak boleh memegang tampuk kekuasaan supaya tidak timbul fitnah yang lebih besar lagi.

Kedua, hadith ini adalah sebagai perumpamaan yang tidak ada wujudnya, sebagaimana sabda nabi,
"Siapa yang membangunkan masjid kerana Allah semata-mata meskipun hanya seperti sarang burung belibis maka Allah akan membangunkan untuknya sebuah rumah di syurga." (Hadith Riwayat Ibnu Majah)

Berkenaan dengan kewajipan mentaati pemimpin, Allah berfirman,
"Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul dan ulil amri antara kamu." (surah an-Nisa': 59)

Namun perintah taat ini tidak berlaku atau gugur apabila pemimpin itu memerintahkan perbuatan maksiat kepada Allah. Jelasnya, tdak ada kewajipan untuk mendengar dan taat dalam perbuatan maksiat kepada Allah.

Lalu Nabi s.a.w bersabda,
"Kerana itu berpegang teguhlah kepada sunnahku dan sunnah para Khulafa' ar-Rasyidin yang mendapat petunjuk. Gigitlah sunnah-sunnahku dengan gigi geraham. Dan hindarilah hal-hal yang baru (dalam soal agama) kerana semua yang baru adalah bidaah dan setiap bidaah adalah sesat."

Ini adalah berita daripada Rasulullah s.a.w mengenai apa yang terjadi kepada umat baginda sesudah berlalunya masa baginda. Pada masa itu, banyak berlaku perselisihan dalam masalah pokok agama dan cabang-cabangnya. juga dalam amal perbuatan, perkataan dan keyakinan. Ini juga selaras dengan hadith baginda tentang perpecahan umatnya menjadi 73 kelompok. Semuanya masuk neraka kecuali satu kelompok yang konsisten dengan ajaran baginda dan para sahabat.

Hadith ini mengandungi perintah untuk berpegang teguh kepada sunnah Rasulullah s.a.w dan sunnah Khulafa' ar-Rasyidin. Ketika terjadi perselisihan dan perpecahan sesudah masa baginda, sunnah adalah jalan yang mesti dilalui. Hal ini meliputi keteguhan dalam berpegang pada sunnah baginda dan sunnah Khulafa' ar-Rasyidin seperti keyakinan perbuatan dan perkataan.

Inilah sunnah yang sempurna. Ulama' salaf menjadikan sunnah sebagai pegangan mutlak bagi ketiga-tiga cakupan tersebut. Sabda baginda, "Gigitlah sunnah-sunnaku dengan gigi geraham." adalah kiasan kepada berpegang teguh dengan sunnah.

Sabda baginda, "Dan hindarilah hal-hal yang baru (dalam soal agama), kerana semua yang baru adalah bidaah dan setiap bidaah adalah sesat" adalah peringatan kepada umat supaya tidak mengikuti perkara-perkara yang baru dan bid'ah. Hal itu diperkuatkan lagi dengan sabda baginda, "Setiap bidaah adalah sesat."

Bertitik tolak dari sini kita dapat memahami bahawa ibadah yang benar adalah yang dilaksanakan dengan ikhlas dan berpandukan ajaran Rasulullah. Mengikut Rasulullah s.a.w bererti mengikuti sunnah baginda dan para sahabat salafus soleh. Bagi dapat mengikuti Rasulullah s.a.w kita harus memahami Islam ini sesuai dengan pemahaman salafus soleh.

PENGAJARAN
  • Rasulullah s.a.w bersungguh-sungguh dalam memberi nasihat kepada para sahabat. Baginda memberi pendidikan yang berpengaruh di dalam jiwa.
  • Taqwa adalah perkara penting untuk disampaikan oleh Muslim kepada Muslim yang lain, kemudian mendengar dan taat kepada pemerintah selagi tiada maksiat.
  • Wajib berpegang teguh kepada sunnah nabi dan sunnah Khulafa' ar-Rasyidin kerana di dalamnya terdapat kemenangan dan kejayaan khususnya apabila terjadi banyak perbezaan dan perpecahan.
  • Hadith ini menunjukkan tentang sunnahnya memberikan wasiat ketika berpisah kerana di dalamnya terdapat kebaikan dan kebahagiaan dunia dan akhirat.
  • Larangan melakukan hal yang baru dalam agama yang tidak memiliki landasan dalam agama.
Petikan daripada "Syarah Hadith 40 Imam Nawawi" oleh Fahrur Muis dan Muhamad Suhadi

No comments:

Post a Comment