Friday, April 6, 2012

Hadith 7 - Agama Itu Nasihat

Abu Ruqayah Tamim ad-Daari melaporkan, sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda, "Agama adalah nasihat." Kami bertanya, "Untuk siapa?" Baginda bersabda, "Untuk Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya, pemimpin kaum muslimin dan kaum muslimin secara umum." (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

HURAIAN

Hadith ini termasuk dalam kategori jawaami'ul kalim (singkat tetapi padat) iaitu penjelasan tentang watak Rasulullah s.a.w semasa berbicara. Ia mengandungi banyak erti dan faedah yang agung sehingga mencakupi seluruh sunnah dan hukum syariat sama ada pokok ataupun cabang. Tidak aneh jika para ulama' menyebut hadith ini adalah tiang ajaran Islam.

Menurut Ibnu Daqiq al-`Id, nasihat adalah kata yang mengandungi erti yang komprehensif. Erti nasihat di sini adalah segala bentuk kebaikan yang diberikan demi kebaikan orang yang diberi nasihat. Frasa "Agama adalah nasihat" bermaksud nasihat adalah sandaran bagi agama. Sebagaimana kata-kata Rasulullah s.a.w "Haji adalah Arafah." Maksudnya, wukuf di Arafah adalah kepentingan dan bahagian besar daripada ibadah haji.

Nasihat adalah kata universal yang bermaksud memberi keuntungan kepada orang yang diberi nasihat. Sebahagian ulama' mengumpamakan orang yang memberi nasihat dalam dayanya menyampaikan kebaikan kepada orang yang dinasihati ibarat orang yang menutup cacat yang terdapat pada baju orang itu. Maka, menasihati orang lain sama halnya dengan menutup cela atau kekurangan yang terdapat pada dirinya.

Nasihat untuk Allah maksudnya nasihat untuk agamanya iaitu dengan cara melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya, membenarkan berita yang Dia sampaikan, kembali kepada-Nya, bertawakkal kepada-Nya, melaksanakan berbagai-bagai syiar Islam dan syariat-syariat-Nya.

Nasihat untuk Kitab-Nya adalah beriman bahawa kitab itu adalah kalam Allah. Ia mengandungi berita-berita yang benar, hukum-hukum yang adil dan kisah-kisah yang bermanfaat. Kita wajib bersandarkan hukum dalam segala urusan hidup kita.

Nasihat untuk Rasul ertinya beriman kepadanya bahawa baginda adalah utusan Allah kepada seluruh alam, mencintai, meneladani dan membenarkan berita yang dibawanya, melaksanakan perintahnya dan menjauhi larangannya serta membela agamanya.

Nasihat untuk para pemimpin kaum muslimin maksudnya menasihati mereka dengan menjelaskan kebenaran, tidak membangkang ataupun menentang mereka, bersabar atas tindakan menyakitkan yang kadangkala mreka lakukan dan hal-hal lain yang menjadi hak-hak mereka. Begitu juga apa sahaja yang berkaitan mereka yang wajib kita bantu seperti melawan musuh dan sebagainya.

Nasihat kepada kaum Muslimin secara mum ertinya menasihati mereka supaya menyeru kepada Allah. Memerintahkan pada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar, mengaarkan kebaikan kepada mereka dan seumpanya. Oleh sebab itu, agama adalah nasihat. Pada hakikatnya, yang pertama kali masuk dalam kategori seluruh kaum Muslimin adala diri sendiri. Ertinya tugas pertama kita adalah menasihati diri sendiri.

Namun, patut diketahui, nasihat memiliki adab dan etika. Antara adab dan etika nasihat yang utama adalah melakukannya secara diam-diam atau sembunyi-sembunyi. Sesiapa yang menutup aib orang lain, Allah menutup aibnya di dunia dan akhirat. Malah ada ulama yang mengatakan, "Siapa yang menasihati saudaranya dengan cara empat mata, itulah nasihat yang sebenarnya. Sebaliknya siapa yang menasihati seseorang di hadapan khalayak ramai, itu adalah penghinaan."

Fudhail bin Iyadh menyebutkan,
"Antara ciri orang mukmin adalah menutup aib saudaranya dan menasihatinya. Sedangkan antara ciri orang derhaka adalah membuka aib seseorang dan menghinanya."

Sebahagian paparan motivasi bagi kita sentiasa saling menasihati, berikut dipaparkan kata beberapa ulama berkaitan dengan nasihat:

  • Hasan Basri berkata, "Anda tidak disebut sebagai pemberi nasihat sebenarnya sehingga anda memerintahkan saudara anda dengan sesuatu yang dia tidak mampu mengerjakannya."
  • Abu Bakar al-Muzani berkata, "Abu Bakar as-Siddiq tidak mengungguli sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w yang lain dengan puasa dan solat. Tetapi, ia mengungguli mereka dengan sesuatu yang ada di hatinya. Yang ada di hatinya adalah cinta kerana Allah dan nasihat kepada seluruh makhluk-Nya."
  • Fudhail bin Iyadh berkata, "Tidaklah unggul antara kita orang yang unggul dalam solat dan puasanya. Tetapi unggul antara kita adalah yang unggul dalam kemuliaan jiwa, keselamatan hati dan nasihat kepada seluruh umat."
Alangkah besarnya peranan nasihat dalam agama. Sekiranya kita ingin menjadi umat yang maju, mulia dan beruntung, kita mesti saling menasihati terutama kepada saudara-saudara kita yang masih kabur tentang ilmu agama, sesuai dengan kemampuan dan pengetahuan yang kita miliki. Jika kita tidak melakukannya, kita termasuk orang yang rugi di sisi Allah, sebagaimana firman-Nya,

"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran." (Surah al-Asr:1-3)
Petikan daripada "Syarah Hadith 40 Imam Nawawi" oleh Fahrur Muis dan Muhamad Suhadi

No comments:

Post a Comment