Saturday, May 5, 2012

Hadith 13 - Mencintai Kebaikan Bagi Orang Lain

Abu Hamzah, Anas bin Malik r.a, pembantu Rasulullah s.a.w melaporkan, Rasulullah s.a.w bersabda, "Salah seorang antara kalian tidak beriman secara sempurna sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri." (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

HURAIAN

Rasulullah s.a.w menjelaskan bahawa bukti daripada persaudaraan atas landasan iman adalah mencintai kebaikan bagi saudara seagama sama seperti mencintai kebaikan itu bagi diri sendiri.

Mengapa seorang muslim mesti melakukan perkara itu? Jawapannya adalah seperti firman Allah.

"Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara." (surah al-Hujurat: 10)

Sabda Rasulullah s.a.w lagi, "Orang mukmin bagi mukmin lainnya itu bagaikan satu bangunan, sebahagiannya menguatkan bahagian yang lain." (Hadith Riwayat Bukhari)

Menurut al-Jardani dalam Syarah Arba'innya, hadith ini adalah salah satu daripada kaedah-kaedah Islam. Muncul satu pertanyaan apa sebenarnya kelebihan hadith ini sehingga Imam Nawawi mencantumkannya di sini? Jawapannya, barangkali kerana Imam Abu Muhammad bin Abu aid, Imam mazhab Maliki di Maroco pada masanya pernah berkata, "Semua Akhlak yang baik bermuara pada empat hadith: Pertama, "Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata baik atau diam". Kedua, "Tanda baiknya Islam seorang ialah apabila dia meninggalkan sesuatu yang tidak berguna baginya." Ketiga, wasiat Rasulullah kepada sahabat, "Jangan marah." Keempat, "Salah seorang antara kalian tidak beriman secara sempurna sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri."

Hadith ini menyatakan kepada kita, iman seorang belum dapat dikatakan sempurna sebelum dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri. Tetapi biasanya tabiat manusia adalah sebaliknya. Kita lebih mencintai diri sendiri daripada cinta kepada orang lain. Selagi kita belum dapat mencintai kebaikan untuk saudara kita sebagaimana kita mencintai kebaikan itu untuk diri sendiri, berrti kita masih memiliki sifat iri atau hasad. Al-Ghazali dalam kitabnya, Ihyaa' ULumuddin membahagi hasad kepada tiga bentuk:

Pertama, mahu nikmat orang lain hilang dan dia mahu perolehnya sendiri.

Kedua, mahu nikmat orang lain hilang meskipun diri sendiri tidak mendapatkannya. Ini lebih buruk daripada yang pertama.

Ketiga, tidak mahu orang lain hilang nikmat, tetapi dia benci apabila orang lain memperoleh yang lebih tinggi daripadanya dalam hal kekayaan dan kedudukan. Namun, dia masih rela jika apa yang di dapatkan sama dengan apa yang diperoleh orang lain. Dia hanya tidak rela jika apa yang orang lain dapat itu meleihi apa yang dia dapat. Hasad jenis ini juga diharamkan, kerana pada hakikatnya dia tidak reda dengan ketentuan Allah.

Para ulama menyatakan bahawa kata-kata baginda s.a.w, 'laa yu'minu' adalah keimanan yang sempurna. Jika demikian, siapa yang belum memiliki sifat ini, dasar keimanan masih melekat pada dirinya, cuma ia tidak sempurna.

Maksud hadith ini adalah dia mencintai kebaikan bagi saudaranya dalam benntuk ketaatan dan hal-hal yang mbah. Erti hadith ini diperkuatkan oleh hadith lain yang direkodkan oleh Imam Nasaie bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, "...sehingga seorang itu mencintai kebaikan untuk saudaranya sebagaimana ia mencintainya untuk dirinya sendiri."

Menurut sebahagian ulama, hadith ini dapat difahami bahawa orang mkmin dengan sesama mukmin yang lain bagaikan satu jiwa. Untuk itu, seseorang perlu mencintai kebaikan untuk saudaranya sebagaimana dia mencintai kebaikan itu untuk dirinya sendiri. Ini kerana, antara dirinya dan orang lain adalah satu jiwa. Sebagaimana hadith nabi, "Orang mukmin itu bagaikan satu tubuh. Jika salah satu anggota tubuh ada yang mengadu, maka semua anggota tubuhnya yang lain turut merasakan demam dan tidak dapat tidur." (Muttafaq alaih)

Bersumberkan dariapda hadith ini, umat Islam perlu menjadi satu tubuh dan satu hati. Kesimpulan ini diambil dari hadith nabi s.a.w yang menjelaskan bahawa kesempurnaan iman itu wujud apabila seorang dapat mencintai kebaikan untuk saudaranya, sebagaimana dia mencintai kebaikan itu untuk dirinya sendiri.

Petikan daripada "Syarah Hadith 40 Imam Nawawi" oleh Fahrur Muis dan Muhamad Suhadi

No comments:

Post a Comment