Sunday, October 2, 2011

Hadith 19 - Penjagaan dan Pertolongan Allah (part two)

Sambungan dari Hadith 19 - Penjagaan dan Pertolongan Allah (part one)

Kelima: Sesungguhnya jika sebuah umat berkumpul bagi mendatangkan manfaat kepadamu atas sesuatu, mereka tidak akan dapat memberikan manfaat sedikit pun kecuali apa yang Allah tetapkan bagimu.

Seluruh makhluk yang ada di alam semesta ini, mulai yang pertama hingga yang terakhir, jika mereka semua bersatu bagi memberi manfaat kepada kita, mereka tidak mampu memberi manfaat sedikit pun kepada kita kecuali dengan sesuatu yang memang Allah tetapkan kepada kita. Beranjak dari sini, kita mesti yakin bahawa manfaat yang manusia perolehi, pada hakikatnya berasal daripada Allah. Tidak ada seorang makhluk pun yang mampu memberi manfaat atau mudarat kepada kita kecuali dengan sesuatu yang Allah tetapkan kepada diri kita.

Keenam: Jika mereka berkumpul untuk mencelakakanmu atas sesuatu, pasti mereka tidak akan mencelakakanmu kecuali kecelakaan yang Allah tetapkan bagimu.

Kata-kata ini semakin mengukuhkan keyakinan kita bahawa jika kita mendapat mudarat daripada seseorang, pada hakikatnya perkara itu memang ditetapkan oleh Allah. Kita harus redha pada Qada' dan Qadar Allah. Tidak ada seorang pun di alam semesta ini yang mampu memberi mudarat kepada seseorang kecuali dengan sesuatu yang Allah tetapkan kepadanya.


Ketujuh: Pena diangkat dan lembaran sudah kering.

Maksudnya, apa yang ditetapkan Allah sudah selesai. Pena diangkat dan lembaran-lembaran menjadi kering. Tidak ada ganti terhadap kalimat yang Allah tetapkan.

Menurut rekod lain selain at-Tirmizi, juga disebutkan bahawa barang siapa yang melaksanakan hak-hak Allah dalam keadaan lapang dan berasa cukup, Allah dan memenuhi keperluannya pada waktu sulit dan susah. Namun, pada umumnya jiwa manusia cenderung sebaliknya iaitu menunaikan hak-hak Allah pada saat susah dan mengabaikan pada saat bahagia dan lapang. Tabiat ini bertentangan dengan Islam dan ia sepatutnya kita tinggalkan.

Hadith ini juga mengingatkan kepada kita tentang ketetapan takdir. Apa sahaja yang ditetapkan Allah menimpa kita, ia tidak akan luput daripada diri kita dan pasti menimpa kita kerana Allah sudah takdirkan perkara itu. Sebaliknya, apa sahaja yang Allah tetapkan akan luput daripada kita, pasti akan diluputkan Allah daripada diri kita sehingga ia tidak menimpa kita. Intinya, segala urusan makhluk itu berada di tangan Allah. Oleh itu, tidak ada tempat bersandar bagi kita selain kepada-Nya.

Baginda Rasulullah s.a.w, "Ketahuilah bahawa kemenangan bersama kesabaran." Satu kaedah penting yang patut kita fahami bersama. Hadith ini memotivasi kita supaya bersabar. Sesiapa yang ingin meraih kemenangan, dia mesti bersabar. Sudah menjadi sunnatullah, sebelum seorang mencapai kejayaan, pasti akan mendapat ujian dan cubaan, Emas tidak akan bersinar dan berkilau sebelum dibakar di atas bara api.

Pemimpin mesti bersabar dalam membimbing dan mengarahkan anak buahnya. Seorang guru mesti bersabar dalam mendidik dan mengajar murid-muridnya. Begitu juga, kaum muslimin mesti bersabar dalam rangka menegakkan agama Allah di muka bumi ini. Tambahan pula, memperjuangkan agama Allah pada akhir zaman seperti ini bagaikan memegang bara api. Jika kita lepaskan, maka akan padam dan jika kita teguh menggenggamnya, maka kita merasakan kehangatannya. Itu yang membuat kita mesti tetap sabar kerana kemenangan bagi agama ini sudah dijanjikan oleh Allah dan rasul-Nya.

"Jalan keluar itu bersama kesusahan dan kesulitan bersama kemudahan." Ertinya, di sebalik kesusahan pasti ada jalan keluarnya dan di sebalik kesulitan pasti ada kemudahan. Kita perlu selalu bertaqwa kepada Allah kerana sesiapa sahaja yang bertaqwa kepada Allah, Dia akan memberinya jalan keluar pada setiap masalahnya dan memudahkan urusannya. Ini selaras dengan firman Allah,
"Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (sekali lagi ditegaskan), sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan."
(Surah al-Insyirah: 5-6)

Jangan mudah berputus asa. Mari kita kuatkan semangat, tabahkan hati dan tingkatkan iman kerana beratnya ujian adalah petanda dekatnya pertolongan Allah.

Itulah wasiat agung yang disampaikan Rasulullah s.a.w kepada Ibnu Abbas. Meskipun pada masa itu usia Ibnu Abbas masih kecil, tetapi baginda melihat Ibnu Abbas telah layak menerima wasiat agung ini. Lalu, bagaimana dengan kita?

No comments:

Post a Comment