Tuesday, September 13, 2011

Hadith 11 - Meninggalkan Perkara yang Meragukan


Abu Muhammad al-Hasan bin Ali bin Abi Talib, cucu kesayangan Rasulullah s.a.w melaporkan, "Saya menghafal daripada kata-kata Rasulullah s.a.w, "Tinggalkanlah apa yang meragukan kepada apa yang tidak meragukan.""
(Hadith Riwayat at-Tirmidzi)

HURAIAN
Hadith yang diriwayatkan oleh cucu Rasulullah ini memerintahkan kepada kita supaya meninggalkan apa sahaja yang meragukan sama ada perkataan atau perbuatan dan beralih menuju kepada sesuatu yang tidak meragukan. Pengertian ini kembali kepada erti hatidh keenam, "Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Antara kedua-duanya terdapat perkara-perkara yang syubhat (samar-samar)."

Para ulama terdahulu atau salafus soleh bersungguh-sungguh dalam meninggalkan yang meragukan dan mengambil yang meyakinkan. Abu Abdurrahman al-Umari menyatakan, "Jika seorang hamba bersikap wara'. tentu dia meninggalkan hal yang meragukan menuju yang tidak meragukan." Hassan bin Abi Sinan juga menyatakan, "Wara' yang paling ringan adalah jika ada sesuatu yang meragukanmu, maka tinggalkanlah."

Bermula dari ini, para ulama' fekah membuat kaedah yang berbunyi,
"Yang yakin tidak dapat dihilangkan dengan yang meragukan."
Kaedah fekah ini menjelaskan, jika ada pertembungan antara yang meragukan dan yang meyakinkan, kita harus mengambil yang meyakinkan dan berpaling daripada yang meragukan. Contohnya seseorang yakin dia telah berwudhuk, kemudian dia ragu-ragu sama ada masih dalam keadaan berwudhuk ataupun batal. Dalam keadaan seperti ini, dia dipandang sebagai orang yang berada dalam keadaan suci dengan wudhuknya. Dalil kaedah ini adalah hadith yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Abu Hurairah, Baginda bersabda,
"Apabila seorang antara kalian mendapati sesuatu di dalam perutnya sehingga dia menjadi ragu apakah keluar angin daripada perutnya atau tidak, maka janganlah dia keluar dari masjid sehingga dia mendengar bunyi atau mencium bau."
(Hadith Riwayat Muslim)

Ayat ini menganjurkan kita supaya bersandar pada keyakinan dalam membuat keputusan dan urusan hidup. Ini kerana, keyakinan akan mendatangkan ketenangan, sedangkan keraguan menyebabkan kecemasan dan kegelisahan. Allah berfirman,
"Kebenaran (yang datangnya kepadamu dan disembunyikan oleh kaum Yahudi dan Nasrani) itu (Wahai Muhammad), adalah datangnya dari Tuhanmu; Oleh itu, jangan sekali-kali Engkau termasuk dalam golongan orang yang ragu-ragu."
(Surah al-Baqarah: 147)

Menurut Asy-Syaukani, ayat ini ditujukan kepada Rasulullah s.a.w. Namun, sebagai umatnya kita juga diperintahkan untuk tidak menjadi orang yang ragu-ragu kerana keraguan sering kali membuat jiwa kita goncang, mengalami tekanan dan was-was. Maka selayaknya kita mengambil yang yakin dan membuang yang meragukan. Sekali lagi, tinggalkan semua yang meragukan, baik yang berkenaan dengan perkara dunia mahupun akhiratnya dan beralihlah pada sesuatu yang tidak meragukan.

Mengapa? Kerana perkara yang halal sudah jelas dan yang haram juga jelas, baik itu berupa perintah mahupun larangan. Maka, kerjakanlah perintah yang jelas itu dan jauhilah larangan yang jelas itu. Adapun hal-hal yang masih meragukan, maka tinggalkanlah. Semoga Allah menjauhkan kita daripada sikap ragu-ragu dan mengalihkan kita pada sesuatu yang meyakinkan.

PENGAJARAN
  • Meninggalkan yang syubhah dan mengambil yang halal melahirkan sikap warak.
  • Jika keraguan bertentangan dengan keyakinan, ambillah keyakinan.
  • Perkara mesti jelas berdasarkan keyakinan dan ketenangan. Tidak ada harganya keraguan dan kebimbangan.
  • Berhati-hati daripada sikap memandang rendah terhadap urusan agama dan masalah bidaah.
  • Siapa yang membiasakan perkara syubhah, dia akan berani melakukan perbuatan yang haram.
Petikan daripada "Syarah Hadis 40 Imam Nawawi" oleh Fahrur Muis dan Muhamad Suhadi

No comments:

Post a Comment