Showing posts with label Umat Islam hari ini. Show all posts
Showing posts with label Umat Islam hari ini. Show all posts

Monday, August 15, 2011

Bersabar ketika berpuasa..


Bismillahirrahmanirrahim..
Hari ke-15 berpuasa, wajah-wajah manusia keletihan jelas kelihatan.. Kunjungan manusia ke bazaar Ramadhan hari ini masih seperti biasa, tidak putus tetapi jelas kelihatan perbezaan antara pengunjung yang biasa dilihat.. Ada yang semakin ceria, ada yang tiada perubahan, ada yang semakin bercahaya dan ada pula yang seperti bermurung..

Aku masih seperti biasa, menjalankan rutin harian Ramadhan.. Ke bazaar untuk berniaga.. Beberapa hari kebelakangan ini sangat sibuk, ditambah pula dengan kesibukan hari ini menyebabkan aku sedikit keletihan dan kurang ceria.. Mungkin disebabkan kekurangan senyuman di wajah aku, peristiwa berikut terjadi..

Sekitar pukul 6.15 petang, aku sedang sibuk membungkus kuih di meja gerai.. Dalam kekhusyukan aku, tiba-tiba hadir 2 wanita membawa anak masing-masing.. Membelek-belek kuih di atas meja seperti berhajat untuk membeli, aku pun menyapa..

Aku : Kuih kak..?
Perempuan A: Berapa harga ni?
Aku : Yang besar ni 2 ringgit, yang kecik ni singgit..
Perempuan A: Bagi akak satu.. (sambil terus berpaling dan membelek-belek handbag)

aku terpinga-pinga.. akak ni nak ape? amende yang satu?
Bila dia berpaling kembali..

Aku : akak nak yang singgit ke yang dua ringgit?
Perempuan A: yang ni.. (dengan nada yang agak keras menunjukkan apa yang dia mahu)
Aku : 2 ringgit? jap..

aku capai beg plastik dan terus memasukkan kuih tadi ke dalam plastik.. tanpa aku sedar, plastik tu terkoyak.. tiba-tiba..

Perempuan A: PLASTIK KOYAK DIK!! (dengan nada kasar)
Aku : Allahuakbar, xperasan.. jangan la marah kak.. saya tak perasan..
Perempuan B: sebab kamu tak perasan la kena bagitau!
Aku : Betul kak.. tapi tak perlu berkasar dan tinggi suara dengan saya.. kalau plastik koyak saya boleh tukar.. bukan saya sengaja nak bagi plastik koyak..

Selepas membayar, kedua-duanya terus pergi tanpa berkata sepatah perkataan pun..

Pada awalnya, aku rasa tindakan akak tadi sangat kasar dan tak munasabah.. kenapa perlu tengking aku hanya sebab plastik koyak? Aku pun kerja sepanjang hari juga, puasa juga.. Tapi takda pula aku berkasar dengan orang hanya kerana perkara-perkara kecil..

Waktu berpuasa ni banyak dugaan.. dalam keadaan letih dan lapar, kita memang amat senang marah.. sedikit saja yang tak kena, kita boleh melenting.. Tapi sebagai orang yang berpuasa, kita perlu ingat, puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga.. Kita masih perlu menahan amarah..

Al Imam Abu Dawud rahimahullah mengeluarkan hadis secara makna dari sahabat Nabi, bahawa Rasulullah Salallahu alaihi wasallam bersabda : “Tidaklah seorang hamba menahan kemarahan kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala kecuali Allah Subhanahu wa Ta’ala akan memenuhi baginya keamanan dan keimanan.” (HR. Abu Dawud dengan sanad Hasan)
Al Imam Ahmad juga meriwayatkan hadits dari Ibnu Umar, bahwa Rasulullah Salallahu alaihi wasallam bersabda : “Tidaklah hamba meneguk tegukan yang lebih utama di sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala, dari meneguk kemarahan kerana mengharap wajah Allah Subhanahu wa Ta’ala.” (Hadits shahih riwayat Ahmad)
Apa ertinya kita berpuasa dari awal pagi sehingga ke petang jika kita tak dapat menahan kemarahan kita yang begitu kecil.. Di pihak aku, mungkin itu dugaan untuk diri aku juga.. Pada kebiasaannya aku hanya akan mendiamkan diri apabila berlaku perkara seperti itu.. tapi tindakan aku seperti tidak kena pada masa dan tempatnya.. aku tak berfikir keadaan dia yang keletihan, terus saja mengatakan apa yang aku rasakan.. mungkin apa yang aku katakan itu betul, tapi betulkan cara aku..?
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : “Berbicaralah kepada manusia menurut kadar kemampuan akal mereka masing-masing” (riwayat Muslim)
Mungkin pada waktu itu akak tu tak dapat terima cara aku berkata-kata, sehingga 30 minit lepas tu dia lalu lagi dan masih menjeling ke arah aku.. jelas kelihatan kemarahan di raut wajahnya..

Sebagai insan yang terlupa, aku harap keadaan ni tak berlaku lagi.. Jika ditakdirkan Allah perkara yang sama berlaku lagi, maka aku memohon agar aku diberi kekuatan untuk mengendalikan keadaan dengan lebih baik dan semoga akalku sempat mengingati pesanan Rasulullah s.a.w:

Rasulullah Salallahu alaihi wasallam bersabda : “Bukanlah puasa itu sekadar menahan makan dan minum. Sesungguhnya puasa itu (adalah puasa) dari perbuatan keji dan sia-sia. Apabila ada orang yang mencelamu atau membodohimu maka katakanlah : sesungguhnya aku sedang berpuasa, sesungguhnya aku sedang berpuasa.” (HR. Ibnu Huzaimah dengan sanad shahih)
Wallahua'lam..
written by: Nurul Shafiq Sohaimi (15 Ramadhan 1432)






Thursday, August 11, 2011

10 hari bersolat di atas najis..

Bismillahirrahmanirrahim..

Hari ke 11 Ramadhan, seperti biasa aku mulakan rutin harian dengan membuka kedai runcit, pergi berurusan di bank, ke kedai borong dan kemudian pada pukul 4.30, ke bazaar Ramadhan untuk berniaga.

Mengikut kebiasaan 10 hari yang sebelumnya, aku pergi ke bazaar, sediakan segala barangan untuk berniaga, bungkus kuih serba sedikit untuk dijual dan pergi ke surau untuk solat asar. Sedikit kelainan yang berlaku hari ini, abang aku pergi dulu ke surau untuk bersolat, kemudian dia datang kembali dan memberitahu "hari ni tak payahlah solat kat surau, pergi cari tempat solat lain.. ada kucing muntah dalam surau..". Mendengar perkara ini, aku pun terus pergi mencari tempat solat lain. Selesai bersolat, tergerak pula hati nak membersihkan muntah kucing dalam surau tadi, tapi disebabkan terlalu ramai orang, aku batalkan niat itu dan kembali ke bazaar.

Sambil menunggu isya', aku duduk berbual dengan mama.. Tiba-tiba aku teringat, surau tadi masih kotor, macamana orang lain nak solat esok? Aku pun tanpa berfikir, capai penyapu, mop dan baldi, terus ke surau. Keadaan nampak sangat berbeza, mungkin sebab tak dipenuhi orang, aku dapat lihat setiap inci ruang solat surau itu. Terjenguk-jenguk sebentar, mencari dimana muntah kucing yang abang aku katakan tadi? Rupanya di sebelah tempat solat imam, 2 tompok muntah kucing masih tidak disentuh sedikit pun oleh berpuluh-puluh jemaah yang solat di surau itu hari ini.. Mengecewakan!

Tak dapat dibayangkan betapa sakitnya hati memikirkan berpuluh-puluh orang sanggup bersujud dihadapan muntah tanpa sedikit pun ada usaha membersihkan atau sekurang-kurangnya menutup supaya tidak mengganggu jemaah. Aku terus menarik tikar yang dikotori muntah tadi, niatnya nak dibawa keluar untuk dibasuh. Angkat sahaja tikar, tiba-tiba kelihatan biji-biji hitam jatuh dari tikar, memenuhi bahagian lantai dibawahnya.. Tahi kelawar?! Aku pandang sekeliling, rupanya memang ruang solat lelaki dipenuhi najis kelawar..

Barulah terdetik di hati aku, rupanya dah 10 hari aku bersujud di lantai yang dipenuhi najis.. Kenapa sebelum ini aku sedikit pun tak perasan? Astaghfirullah, rupanya aku pun sama! sekadar datang bersolat, sedikit pun tak berfikir tentang kebersihan tempat aku bersolat!
Disebabkan terlalu kotor, aku mengambil keputusan untuk membersihkan seluruh surau, termasuk bahagian perempuan. Aku fikir, mungkin tak berat sangat.. Takkanlah bahagian perempuan kotor seperti bahagian lelaki.. Tapi sangkaan aku meleset, aku selak tirai yang membahagi antara lelaki dan perempuan, Subhanallah, ibarat tempat pembuangan sampah! Apa aku nampak?
  • telekung solat yang kotor, bersepah di lantai.
  • sejadah tidak berlipat, tidak pula dibentang.
  • bekas minuman yang sudah berhari-hari ditinggalkan
  • tisu yang sudah diguna, dibuang ditepi sejadah
  • tisu kotor yang diguna untuk mengesat air yang tumpah
  • karipap tak habis makan pun ada!
Bagaimana agaknya hati kita kalau sampai begini kotor tempat solat kita, tempat kita bersujud, tapi sedikit pun tak dipedulikan. Setiap orang yang datang bersolat cuma berfikir kepentingan sendiri, sedikit pun tak beri perhatian kepada kebersihan, keselesaan orang lain. Beginikah umat Islam kita hari ini? Dalam kesibukan berniaga, membeli juadah berbuka puasa, kita menutup mata kepada perkara lain yang lebih penting..

Alhamdulillah semua sampah dan kotoran dah dibersihkan, tapi bagaimana perangai kotor kita ni nak dibersihkan? Adakah kebersihan surau awam sekadar tanggungjawab pihak berkuasa tempatan?!

Rasulullah SAW telah bersabda: Kebersihan itu sebahagian daripada iman. (Riwayat Abu Malik Al-Ashaari).

Wallahua'lam..
written by: Nurul Shafiq bin Sohaimi (11 Ramadhan 1432)