Sunday, September 11, 2011

Cubalah Bersikap Sabar Dengan Perangai Isteri


Diceritakan bahawa ada seorang datang ke rumah Khalifah Umar Al-Khattab untuk mengadukan perangai buruk isterinya. Apabila orang itu tiba di pintu rumah Khalifah, tiba-tiba dia terdengar isteri Khalifah sedang mengangkat suara mengatakan nista Khalifah sedangkan Khalifah hanya berdiam diri sahaja, tidak menjawab sepatah pun.

Maka orang itu pun tidak jadi hendak mengadu, malah tergesa-gesa hendak kembali meninggalkan rumah Khalifah, maka dengan tidak semena-mena dia dipanggil oleh Khalifah Umar seraya bertanya kepadanya: "Apakah hajatmu datang ke mari?"
Jawabnya: "Tidak ada apa-apa wahai Amirul Mukminin."
Tanya Khalifah Umar: "Mengapa datang kalau tidak ada apa-apa?"
Kata orang itu lagi: "Sebenarnya saya datang ini untuk mengadukan kelakuan buruk isteri saya, wahai Amirul Mukminin. Tetapi tiba-tiba saya mendapati tuan hamba juga mengalami nasib yang sama seperti saya."

Berkata Khalifah Umar:
"Wahai saudaraku! Aku terpaksa menanggung semua itu kerana aku terhutang budi kepadanya. Dia telah memasak makananku, membuat roti untukku, membasuh pakaianku dan menyusukan anakku, padahal semua itu tidak wajib atasnya. Dan dia juga menjadi tempat kemesraanku, di mana hatiku berasa tenang dan kerana itu juga aku terlindung daripada melakukan yang haram. Bagaiman dapat aku menentangnya, jadi aku hanya bersabar dan memekakkan telinga saja."
Kata orang itu pula: "Saya juga menanggung nasib yang sama seperti tuan hamba juga, wahai Amirul Mukminin!"

Maka berkata Amirul Mukminin Lagi:
"Wahai saudaraku! Bersabarlah atas kelakuan isterimu itu."

Doa Menghilangkan Rasa Takut atau Tidak Sedap Hati:
"aku berlindung dengan Kalimat Tuhan Yang Maha Sempurna daripada syaitan yang menggoda dan dari mata yang menyeramkan"

Firman Allah s.w.t:
"Wahai orang-orang beriman! Minta pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) solat. Kerana sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar"
(Surah Al-Baqarah: 153)
"Katakanlah (wahai Muhammad akan firmanKu ini, Kepada orang-orang yang berakal sempurna itu): "Wahai orang-orang beriman! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu (Ingatlah) orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat)"
(Surah Al-Zumar: 10)

No comments:

Post a Comment